Semalam hari cuti umum di seluruh negara sempena Tahun Baharu Cina. Namun ini bukan bermakna boleh ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Lebih-lebih lagi bagi mereka yang masih cuba-cuba ingkar SOP PKP hendak merentas daerah atau negeri tanpa kebenaran dan aktiviti di pusat hiburan.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, seramai 877 individu ditahan atas kesalahan ingkar SOP semalam.
Menurut beliau, daripada jumlah itu, 806 telah dikenakan kompaun manakala 71 lagi direman.
“Antara kesalahan direkodkan ialah gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (253), rentas negeri/daerah tanpa kebenaran (177) dan aktiviti pusat hiburan, 101.
“Turut diambil tindakan, tidak memakai pelitup muka (98), gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (82) dan lain-lain, 166,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Baca artikel berkaitan: 203 individu ditahan rentas daerah/negeri tanpa kebenaran – Ismail Sabri
Tambah Ismail Sabri, Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuat 57,918 pemeriksaan semalam, bagi memantau dan menguatkuasa pematuhan SOP PKP.
“Sebanyak 2,910 Pasukan Pematuhan yang melibatkan 14,071 anggota telah membuat pemantauan di 4,212 pasar raya, 5,630 restoran serta 2,385 penjaja, 1,570 kilang, 3,650 bank dan 664 pejabat kerajaan.
“Juga dipantau, sebanyak 1,017 terminal pengangkutan darat, 268 terminal pengangkutan air serta 76 terminal pengangkutan udara,” ujarnya.
Kata beliau, Operasi Benteng semalam telah menangkap 45 pendatang asing tanpa izin (PATI) dan lima tekong serta merampas lapan buah kenderaan darat.
Dalam operasi itu, katanya, pihak berkuasa turut mengesan 102 buah bot/kapal di perairan negara melalui enam aktiviti penglihatan.
“Op Benteng melibatkan PDRM, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) serta agensi-agensi keselamatan lain turut menjalankan 531 sekatan jalan raya (SJR) semalam,” katanya.
Tambah Ismail Sabri, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah membuat 746 pemantauan harian ke atas 11 jenis bekalan barangan.
Ia terdiri daripada peruncit (590), pemborong (125) dan pengilang (31).
“KPDNHEP juga telah melakukan 2,939 pemeriksaan khas pematuhan SOP dan daripada
jumlah itu, 2,936 premis mematuhi SOP manakala tiga premis diberi nasihat,” ujarnya.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram.

