DEMI populariti atau ingin cepat mendapat pengaruh, kita tahu ramai ahli politik di negara ini yang suka memainkan sentimen kaum apabila mengadakan ceramah politik atau memberikan pendapat kerana pada mereka, itulah strategi paling mudah mendapatkan sokongan.
Bagaimanapun, strategi itu sangat berbahaya kepada negara yang mempunyai rakyat pelbagai kaum seperti di Malaysia kerana ‘api yang dicurah minyak’ sangat sukar dikawal jika ia sudah merebak.
Sehubungan itu, tidak hairanlah hari ini Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengingatkan rakyat negara ini harus berwaspada terhadap manipulasi sentimen kaum yang dimainkan oleh ahli-ahli politik pada masa kini.
Bercakap pada majlis pelancaran secara maya Dasar Perpaduan Negara dan Rangka Tindakan (Blueprint) Perpaduan Negara 2021-2030 hari ini, perdana menteri berkata ia merupakan cabaran utama dalam hampir semua negara yang mempunyai rakyat berbilang kaum.
“Pelaku politik yang cuba menaikkan saham politik masing-masing melalui eksploitasi perasaan kaum hendaklah kita elakkan,” katanya pada majlis yang disiarkan di laman Facebook Kementerian Perpaduan Negara.
Beliau berkata kerajaan sedar, rakyat Malaysia tidak akan sekali-kali mengorbankan kesepaduan sosial dan perpaduan negara yang telah dikecapi selama ini demi matlamat peribadi.
“Kerajaan juga tidak akan sekali-kali berkompromi dalam perkara yang boleh mengganggu-gugat perpaduan negara. Berpegang kepada prinsip inilah Kementerian Perpaduan Negara telah diwujudkan bagi menggalas tugas berat memastikan agenda perpaduan nasional dijayakan,” katanya seperti yang dilaporkan Bernama.
BERITA BERKAITAN Muhyiddin! Jangan biarkan ‘urusan perut’ rakyat terus terganggu
Sifat empati
Muhyiddin dalam ucapan kira-kira 30 minit itu berkata rakyat Malaysia khususnya petugas barisan hadapan telah membuktikan sifat empati terhadap satu sama lain tanpa mengira kaum atau agama sewaktu negara berdepan dengan krisis Covid-19.
Menurutnya, sifat empati ini harus diperkukuhkan dalam masyarakat sekali gus membantu usaha mengatasi cabaran perkauman dengan lebih berkesan.
“Dalam tempoh negara berdepan wabak Covid-19 ini, saya sedar bahawa ramai dalam kalangan kita juga telah menunjukkan sifat empati sesama kita.
“Kita perlu terus menyuburkan sifat empati ini dalam usaha kita hendak memahami isi-isu kaum dari perspektif yang lebih seimbang dan menyeluruh. Seperti beberapa negara-negara berbilang kaum yang lain, kadangkala kita hanya melihat isu kaum dari sudut kaum atau kumpulan tertentu,” katanya.
Perdana menteri percaya perspektif ini perlu diperbaiki supaya menjadi lebih seimbang dan holistik dan harus dipupuk melalui sistem pendidikan dan media. – UtusanTV
Ikuti pelbagai berita dan artikel terkini di Facebook, Twitter dan Instragram UtusanTV.com.

