Berdasar statistik Kementerian Pengangkutan, sebanyak 47 kes kematian direkodkan membabitkan kecuaian pemandu mabuk di Malaysia dalam tempoh lima tahun lalu.
Justeru, slogan minum dan bertanggungjawab memang nampak cantik di lori syarikat arak tetapi realitinya banyak nyawa tidak berdosa melayang angkara pemandu mabuk.
Terbaru yang menjadi perhatian ramai kisah seorang anggota polis di Kluang maut minggu lalu selepas motosikal ditungganya dirempuh kereta dipandu pemandu mabuk.
Lebih tragis apabila Lans Koperal Bradford Bernard, 28, yang berasal dari Sabah itu baru sahaja mendirikan rumah tangga.
Hari ini, pemandu berkenaan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kluang atas pertuduhan memandu di bawah pengaruh alkohol sehingga menyebabkan kematian Bernard Jumaat lalu.
Tertuduh, T Yogarajah, 58, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Arun Noval Dass.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa memandu kenderaan di bawah pengaruh alkohol yang mana kandungan alkohol di dalam badan sebanyak 134 mg/100 ml iaitu melebihi daripada had ditetapkan sebanyak 80 mg/100 ml.

Tertuduh dari arah Kluang menghala ke Renggam memasuki laluan motosikal yang ditunggang Bernard di Kilometer 6, Jalan Kluang-Teck Wah, Jumaat lalu, sehingga menyebabkan kematian mangsa.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 yang memperuntukkan hukuman denda antara RM50,000 hingga RM100,000 dan penjara antara 10 hingga 15 tahun serta lesen memandu digantung sementara kes dibicarakan.
Baca artikel berkaitan: Polis maut angkara dilanggar pemandu disyaki mabuk
Memetik laporan Harian Metro, terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nur Zahida Muhammad Ruzi memohon tertuduh tidak ditawarkan jaminan.
Mahkamah memberikan peluang kepada tertuduh untuk merayu jaminan namun tertuduh tidak mahukannya kerana tidak mampu membayar.
Mahkamah menetapkan tiada jaminan diberikan dan menasihatkan tertuduh mendapatkan khidmat peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).
Mahkamah menetapkan 22 Mac depan bagi tarikh sebutan semula.
Dewan Rakyat pada 26 Ogos tahun lalu meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2020 yang antara lain meminda hukuman pemanduan di bawah pengaruh alkohol atau dadah.
Pindaan membabitkan 15 fasal utama dan menyentuh 13 seksyen Akta 333 yang dibentang oleh Ka Siong pada Julai lalu, diluluskan tanpa pindaan menerusi undian suara di Dewan Rakyat.
Antara pindaan utama adalah ke atas hukuman sedia ada, membabitkan kadar denda, tempoh penjara dan penggantungan lesen memandu.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram.

