Sah! UMNO tolak kerjasama dengan Bersatu dan jawatan TPM

0
5722
umno bersatu

AHLI Majlis Tertinggi (MT) UMNO secara rasmi memutuskan untuk tidak mengadakan kerjasama dengan parti Bersatu dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), menurut sumber.

Dalam mesyuarat selama tiga jam di Janda Baik, Bentong malam tadi, pemimpin tertinggi parti itu turut menolak jawatan Timbalan Perdana Menteri yang dikatakan ditawarkan kepada pemimpin UMNO.

Bagaimanapun, kedudukan kerjasama UMNO dan Pas dalam Muafakat Nasional tidak dapat dipastikan kerana Pas telah menyertai gabungan Perikatan Nasional (PN) yang dipengerusikan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Namun begitu UMNO akan terus bersama kerajaan PN hingga PRU-15.

Difahamkan mesyuarat MT itu diadakan berikutan satu pertemuan peringkat tertinggi antara ketiga-tiga parti baru-baru ini yang meminta UMNO segera memberi keputusan sama ada hendak menyertai PN bagi membolehkan gabungan itu membuat perancangan menghadapi PRU-15.

BERITA BERKAITAN PRU-15 : Mampukah UMNO berjuang sendirian?

Mesyuarat MT UMNO malam tadi diadakan di Institut Latihan Memperkasakan Ummah (ILMU), Janda Baik dengan dipengerusikan Presiden UMNO yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Sumber memaklumkan, mesyuarat pada malam ini digambarkan penting khususnya dalam mencorak hala tuju parti Melayu itu menjelang PRU-15.

Terdahulu, pemerhati politik berpandangan bahawa penting untuk UMNO membuat keputusan berhubung perkara tersebut bagi mengelakkan pertembungan tiga penjuru antara Perikatan Nasional (PN); BN; serta Pakatan Harapan (PH). – UtusanTV

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram