“Ilmu akhirat adalah penting, dan ilmu akhirat BUKAN hanya jurusan agama sahaja,” – Dr Syahr Musafir

0
2192

Kenyataan pelakon veteran, Zul Yahya memberhentikan sesi persekolahan anak-anaknya demi mendalami ilmu akhirat mendapat reaksi pelbagai pihak. Ia turut mendapat perhatian pensyarah, Dr Syahr Musafir yang menyifatkan ilmu yang baik semuanya datang daripada Allah SWT.

Jelasnya menerusi perkongsian di laman Facebook, ilmu akhirat bukan hanya menjurus kepada ilmu agama, namun ia terangkum dalam perspektif yang lebih luas.

Tegas Syahr lagi, ilmu dan pekerjaan yang diusahakan adalah rezeki daripada Allah. Malah menuntut ilmu juga adalah usaha dan berpeluang untuk meraih pahala.

“Saya berhentikan anak-anak daripada bersekolah, lebih elok duduk rumah belajar qur’an dan ilmu agama, pentingkan ilmu akhirat berbanding dunia…”

“Sijil degree atau masters tak boleh selamatkan kita (anak-anak kita) daripada dajjal dan api neraka…”

“Lebih kurang begitulah kata-kata artis yang telah merubah kehidupannya sebagaimana digembar-gemburkan. Saya adalah follower-nya di Facebook, dan saya dengar sendiri kata-katanya dalam video panjangnya……..

“Daripada semalam saya tahan tangan daripada menulis isu ini, tetapi setelah muhasabah, berfikir, istikharah dan solat sunat taubat, hari ini saya menulis ini Lillahi Taala.

“Saya tak kisah pun pasal Abang Z itu nak home-school-kan anak-anak, bla bla bla, itu pilihan Abang. Abang nak cerita kebaikan-kebaikan bisnes, cara Abang didik dan besarkan anak-anak Abang dengan cara Abang pun, silakanlah, saya hormat semua tu, sebab setiap orang ada pilihan dan cara masing-masing.

“Tetapi apabila bekas artis terbabit mula seolah-olah sinonimkan ilmu yang diajar di sekolah sebagai tak berguna untuk akhirat, seolah-olah belajar Sains, Fizik, Kimi, Biologi, Bahasa Melayu, Sejarah, Bahasa Inggeris semua tu semacam tak boleh nak jauhkan kita (manusia) daripada api neraka, saya rasa perlu ada orang sekolahkan dia semula dalam segi cara fikir itu secara spesifik.

“Bang, ilmu yang baik itu tak kisahlah ilmu apa, semuanya datang daripada Allah SWT dan semuanya boleh bawa kita kembali kepada Allah menerusi pahala dan pengamalannya.

“Kereta yang kita pandu itu (kan Abang buat video masa tengah driving), izin ilmu daripada Allah, jika dibina, dicipta, dipandu, dibaiki, dicantikkan, atau apa saja termasuklah apabila kereta itu buruk lalu dilupuskan, apabila semua proses itu dilakukan oleh orang Islam yang baik, semua proses melibatkan ilmu itu layak diberi pahala oleh Allah SWT lalu menjadi SAHAM AKHIRAT.

“Belajar Fizik, Biologi, Sains, Matematik, Bahasa Melayu, semua ni, semuaaaaaanya adalah berpahala. Semuaaaaa ni boleh jadi bekal akhirat. Semuaaaaaa ni adalah ibadah.

“Kerja doktor, saintis, tukang sapu, cikgu sekolah, ustaz-ustazah, tukang masak, engineer dan semua yang lain, semuaaaaaanya adalah berpahala. Semuaaaaa ni boleh jadi bekal akhirat. Semuaaaaaa ni adalah ibadah.

“Al-Qur’an ajar semua benda ni, semua saya sebut tu adalah juga ilmu Al-Qur’an. JANGAN AJAK orang lain untuk sempitkan cara fikir bahawa bekal akhirat hanyalah belajar subjek agama saja.

“Saya pernah kenal ustaz yang berperangai buruk, mereka hafaz Qur’an tapi lalai, ustazah pun ada yang buat perangai buruk, kaki mengumpat dan seumpamanya, sebab belajar subjek agama tak bermaksud confirm berakhlak mulia dan tak bermaksud confirm masuk syurga.

“Dan saya pernah kenal orang bukan lulusan bidang agama bekerja dalam industri pelbagai termasuklah doktor, jurutera dan guru sekolah, mereka ini soleh, baik, mempunyai ilmu agama dan menjalankan dakwah kepada masyarakat, sedangkan mereka bukanlah ustaz-ustazah dan tak pernah belajar di sekolah agama, sama macam saya bersekolah di sekolah biasa.

“Ilmu Allah itu luas, dan sekolah dibina, ilmu diajar, semua ini adalah FARDHU kifayah, sebagaimana jurusan agama juga. Saya hantar anak-anak saya ke sekolah biasa, belajar bahasa, ilmu hisab, sains, semua tu supaya apabila besar nanti mereka jadi doktor yang beriman, jurutera yang beriman, peguam atau apa saja kerjaya yang ikhlas, sahih, beriman, Islami, berihsan, berakhlak…… Bukan nak mereka jadi ejen dajjal.

“Saya kena sebut semua ni, sebab saya tak nak orang terpengaruh, sebab artis mempunyai ramai followers. Teori konpsirasi apa ni, sampaikan nak kena sempitkan cara fikir orang ramai tentang ilmu, sekolah, guru-guru pula…..Saya setuju rezeki ditentukan oleh Allah, tak sekolah pun boleh cari rezeki, tak ada masalah. Tetapi nak dapatkan rezeki, sepertimana yang disebut, perlukan usaha.

“Dan semua kita KENA FAHAM, bersekolah belajar ilmu itu ini juga adalah USAHA. Usaha belajar nak dapatkan ilmu, nak dapatkan keputusan yang baik, nak jadi kerjaya professional, nak buat kerja dengan baik, meraih pahala sepanjang proses ini, INI SEMUA ADALAH USAHA MERAIH REZEKI. Setiap peringkat mempunyai pahala yang Allah akan beri setimpal.

“Saya belajar sampai pada usia saya 27 tahun saya dapat PhD dalam bidang Perubatan (Patologi Ortopedik), saya tak pernah pun tinggalkan belajar ilmu agama, tak pernah pun diajar untuk tidak mengamalkan ajaran Islam, atau sebagainya. Bahkan saya pun hafaz al-Qur’an dan berbahasa Arab, bahkan dengan ilmu-ilmu Sains Perubatan inilah mendidik saya tentang kebesaran Allah, sifat ihsan, ikhlas dan sebagainya, apabila kita memahami ilmu itu, betapa hebatnya Allah SWT mencipta penyakit, mencipta penyembuh dan sebagainya.

“Janganlah sesuka hati berkata ilmu ini tak boleh lawan dajjal macam kami ini sampah atau buih-buih di lautan. Pernah menangis dengan hakikat bahawa doktor tak mampu menyembuhkan kecuali dengan bantuan dan izin Allah, Subhanallah rasa kerdilnya diri, malu pada Allah, menangis minta Allah bantu…

“Semua ini lebih baik daripada ilmuwan jurusan agama yang mempolitikkan agama, menunggang agama untuk kepuasan nafsu dan sebagainya, lihat saja kes-kes ‘orang agama’ bercakap tak senonoh, ada yang menceraikan isteri yang hamil tanpa sebab yang jelas, bla bla bla….

“Pelakon, penyanyi, pengarah drama, penerbit dan semuanya juga boleh jadi pentarbiyah dan pendakwah yang bagus, apabila mereka sedar tanggungjawab menyebarkan kalimah Allah dalam setiap karya. Tak perlu sempurna, tetapi perlu ada. Ilmu akhirat adalah penting, dan ilmu akhirat BUKAN hanya jurusan agama sahaja. Abang, kita belajar ilmu bisnes dan praktikkannya, dapat rezeki halal dan berkongsi, semua ini pun boleh lawan fitnah dajjal, bang. Bukan dapat rezeki duit saja. Yakinilah.

#KisahMasyarakat Moga Allah redha

FB Syahr Musafir Selasa 23/02/2021.”

Terdahulu, tular di laman sosial apabila bekas pelakon Zul Yahya menerusi hantara di laman Instagram mengambil keputusan untuk tidak meneruskan sesi persekolahan anak-anaknya kerana meletakkan ilmu akhirat sebagai keutamaan hidup.

Sumber : Syahr Musafir