BARU-baru ini, Menteri Kesihatan Malaysia, Khairy Jamaluddin membuat satu kenyataan melalui sidang media di mana kerajaan akan terus ‘menyusahkan’ hidup kumpulan anti-vaksin agar mereka tidak dibenarkan menikmati sebarang kelonggaran seperti individu yang sudah lengkap vaksinasi.

Bagaimanapun, kenyataan tersebut telah mengundang rasa tidak puas hati oleh sesetengah pihak termasuklah beberapa selebriti terkenal tanah air iaitu Zul Yahya dan Rita Rudaini.

Zul yahya atau nama sebenarnya Zulkiffili Yahaya, 48, meluahkan pendapat menerusi satu perkongsian di Instagram miliknya yang menganggap keputusan yang dilakukan oleh kerajaan itu menyekat kebebasan individu untuk hidup dengan baik.

“Ramai ahli keluarga aku, sahabat aku yang ambil vaksin dan juga yang tidak ambil vaksin tapi tidak ada jurang pemisah antara kami.

“Tidak ada siapa yang lebih atau pun yang kurang, kami masih sayang kerana Islam itu ada di dalam diri kami. Masing-masing berikhtiar untuk hidup dengan baik,” katanya.

Dia turut menegaskan, tidak sampai 10 peratus golongan yang enggan mengambil vaksin sebenarnya bukanlah penjenayah atau pun pengganas.

Melalui entri yang sama, Zul sempat memberi nasihat kepada kerajaan agar tidak terlalu taksub dengan peraturan yang dikeluarkan sehingga mendatangkan kesusahan kepada orang lain.

“Jangan terlalu sombong dengan keputusan yang dibuat hingga menyekat kebebasan umat untuk hidup dengan baik. Kedudukan anda pun daripada sebahagian asbab doa orang soleh yang menarik bantuan Allah untuk menjadikan negara masih aman dan orang Melayu atau Islam menjadi pemerintah serta pemimpin di negara ini,” katanya.

Pada masa yang sama, Rita yang menggelarkan dirinya sebagai ‘prosafe’ turut mempunyai pendirian yang sama seperti Zul.

Menurut Rita, sebagai seorang rakyat Malaysia yang membayar cukai, dia berasakan ada ruang untuk dirinya menyuarakan rasa ketidakpuasan hati tentang pemberian vaksin Covid-19.

“Ya! Saya prosafe… prosafe pun tak ada hak… so anti-vaksin ke prosafe ke, saya menyuarakan hak sebagai rakyat yang bayar cukai, bayar cukai jalan, bayar cukai pintu, bayar macam-macam lagi lah.

“Takkan bersuara pasal hak pun di katakan melawan kerajaan? Kita bukan buat jenayah, apatah lagi menghasut,” katanya menerusi satu muat naik status dalam InstaStory.

Terdahulu, Khairy Jamaluddin berkata, kemungkinan golongan yang enggan atau menolak mengambil suntikan vaksin diwajibkan untuk menjalani saringan Kit Ujian Rapid Antigen (RTK-Ag) Air Liur secara mingguan dan ia ditanggung sepenuhnya oleh individu tersebut.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram