JABATAN Agama Islam Selangor (JAIS) menjangka akan menerima waran tangkap yang dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam hari ini terhadap pengusaha kosmetik, Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman atau dikenali Nur Sajat
Jurucakap JAIS berkata, setakat ini jabatan itu masih menunggu waran tersebut dan akan menggerakkan pasukan penguat kuasanya untuk menangkap Nur Sajat bagi dibawa ke mahkamah untuk menghadiri proses perbicaraan.
“Kami jangka waran itu akan diterima hari ini. Sebaik terima waran itu, kita akan usaha cari dan tangkap Sajat.
“Setakat ini, kita masih menunggu waran itu,” katanya seperti yang dilaporkan BH Online, hari ini.
BERITA BERKAITAN Tidak hadir perbicaraan, mahkamah keluar waran tangkap untuk Sajat
Semalam, Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam mengeluarkan waran tangkap terhadap pengusaha kosmetik itu kerana gagal menghadirkan diri pada sebutan semula kesnya tanpa sebarang sebab.
Peguam syarie, Zuri Zaibuddin Budiman yang mewakili usahawan itu, dilaporkan mengesahkan perkara berkenaan dan memaklumkan kes ditangguhkan ke 1 Jun depan.
Pada 6 Januari lalu, Muhammad Sajjad, 36, dituduh berpakaian seperti wanita pada satu majlis bacaan Yasin dan solat hajat sehingga menyebabkan agama Islam dipandang hina, di pusat kecantikan miliknya di Seksyen 16, Shah Alam, jam 7.30 malam 23 Februari 2018.
Dia didakwa mengikut Seksyen 10 (a) Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

