“Rezeki tak pernah salah alamat…” – MK K-Clique dipilih jadi ikon akademik

0
1185
mk k-clique

SELEPAS pelakon dan pengacara Mira Filzah, kini penyanyi rap sensasi kumpulan K- Clique, MK, 24, pula dipilih memikul tanggungjawab sebagai duta pusat tuisyen dan peningkatan akademik, PTTI Group Sdn Bhd sejak awal Januari lalu.

Penyanyi dari Sabah itu mengiyakan perkara berkenaan seiring video yang dikongsikan di laman Instagram yang mengucapkan selamat maju jaya kepada semua calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang mula menduduki peperiksaan berkenaan sejak 22 Februari lalu.

Kata pemilik nama penuh Muhammad Hairi Amin itu, dia percaya tanggungjawab yang digalas itu datang dengan amanah yang murni serta besar.

“Sejujurnya saya mengambil masa memikirkan untuk menyatakan persetujuan sebagai duta pusat akademik berkenaan.

“Saya ‘dirisik’ pihak mereka sekitar Oktober tahun lalu. Ketika itu pun saya sudah mula diundang pihak berkenaan sebagai panel jemputan bersama teman artis lain.

“Ketika itu fungsi dan peranan saya lebih kepada memberi semangat dan mendorong calon SPM 2020 yang berdepan pengalaman dan cabaran berbeza di era pandemik COVID-19 ini,” katanya.

Menurut MK, dia mula memeterai perjanjian bersama pusat akademi itu pada hujung tahun lalu.

“Cuma dalam hati saya terdetik kenapa pihak PTTI berkenan menyunting saya sebagai duta. Saya percaya ada calon lain yang lebih baik berbanding diri sendiri.

“Namun rezeki itu tak pernah salah alamat. Jadi amanah yang digalas ini akan saya sebaik mungkin. Mungkin juga saya ada pencapaian dan sedikit pengaruh yang boleh mendekatkan PTTI dengan generasi masa kini yakni pelajar SPM,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PTTI, Siti Farhana Abu Osman atau lebih mesra dengan nama Cikgu Fana berkata, pemilihan MK seiring dengan aura, personaliti dan pengaruh yang dimilikinya.

“Sebagai pusat akademik yang khusus kepada pelajar SPM, kami optimis kehadiran MK boleh terus mendekatkan kami dengan golongan sasaran.

“Kita sedar, pesonanya dalam kumpulan K-Clique cukup hebat dan berpengaruh. Apa saja yang dikongsinya mendapat perhatian ramai.

“Kita mempertimbangkannya dengan pelbagai faktor tambahan. MK ada sesuatu yang boleh kita gunakan untuk manfaat, tujuan dan contoh positif terutama di saat isu pendidikan kini berdepan cabaran getir,” ulasnya.

PTTI yang ditubuhkan sekitar 2016 sudah berjaya melahirkan lebih 100,000 orang pelajar lulusan SPM dengan keputusan cemerlang hingga tahun lalu.

PTTI kini memiliki 25 tenaga pengajar yang mengajar menerusi formula dan teknik berkesan membimbing pelajar menghadapi SPM.