KENDERAAN utiliti sukan (SUV) kompak baharu keluaran Perusahaan Otomobil Kedua Sdn. Bhd. (Perodua) yang telah lama dinanti-nantikan iaitu Ativa secara rasmi dilancar pada harga lebih murah antara RM61,500 hingga RM72,000 atas jalan sebelum insurans di Semenanjung.
Menurut Perodua, harga bagi Ativa yang juga model pertama di bawah rangka tindakan Perodua Smart Build itu adalah lebih rendah daripada harga tentatif RM62,500 hingga RM73,400 yang diumumkan sebelum ini dan sah sehingga pengecualian cukai jualan kenderaan berakhir 30 Jun nanti.
Ativa juga merupakan kenderaan cas turbo pertama Perodua, model pertama Perodua menggunakan transmisi boleh laras berterusan (CVT) dan model pertama syarikat itu yang memenuhi standard pemanduan autonomi tahap 2 di samping menjadi kenderaan paling mampu milik di Malaysia menepati standard berkenaan.
“Semua teknologi ini menyumbang kepada kecekapan bahan api sehingga 18.9 kilometer sejam, menjadikannya kenderaan cekap tenaga (EEV) kelima Perodua,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Baca artikel berkaitan: Prestasi industri automotif tempatan tetap kukuh
Mengulas mengenai Ativa, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata, harga model terbaharu itu yang berpatutan adalah disebabkan kadar kandungan komponen tempatan sebanyak 95 peratus.
Menurutnya, ia juga adalah kadar permulaan tertinggi bagi mana-mana model Perodua malah enjin dan transmisinya juga dihasilkan di Malaysia.
Beliau memberitahu, Perodua Ativa adalah hasil kerjasama pintar pertama antara Perodua dengan rakan teknikal dan teknologinya iaitu Daihatsu.
“Setakat ini, kami telah menerima kira-kira 5,000 tempahan bagi Perodua Ativa sejak ia dibuka untuk tempahan pada 19 Februari lalu.
“Kami mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia atas sokongan. Penghantaran akan bermula hari ini dan kami menyasarkan untuk menghantar sebanyak 3,000 unit sebulan secara purata,” katanya.

Tambah Zainal Abidin, Ativa berasal daripada Bahasa Portugis yang bermaksud aktif adn sesuai dengan gaya hidup di bandar yang dialami ramai pengguna.
Katanya, pengelaman Ativa penting kerana ia membawa kerjasama antara Perodua dan Daihatsu ke tahap baharu sekali gus membolehkan syarikat berkenaan serta pembekalnya berkongsi komponen dan proses untuk memaksimumkan kecekapan kos.
“Semua ini dilakukan tanpa mengetepikan reka bentuk, ciri-ciri dan citarasa Malaysia yang unik.
“Penglibatan kami dalam pembangunan Ativa bermula daripada papan lukisan dengan 54 pereka dan jurutera kami bekerjasama dengan Daihatsu sejak 2018.
“Kerjasama erat ini membolehkan kami melibatkan ekosistem automotif Malaysia di dalam pembangunan model ini dan pembekal kami berjaya mengatasi cabaran serta mampu mengurangkan kos mereka,” jelas beliau.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

