“Tidak kira ‘Datuk Seri’ atau ‘Tan Sri’, jika terlibat jenayah kita tahan – Ayob Khan

0
1838
tembak mati empat

SEORANG lelaki mengaku Datuk Seri ditahan selepas memeras ugut dua mangsa termasuk seorang anggota polis berpangkat Inspektor, Khamis lalu, kata Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay.

Beliau berkata lelaki itu dipercayai menjalankan aktiviti memeras ugut di sekitar negeri ini dan berselindung di sebalik aktiviti kajikan seperti banyak menderma kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Datuk Seri berusia 56 tahun itu ditahan bersama rakannya yang berusia 41 tahun kira-kira jam 8.30 malam, Khamis lalu, selepas mangsa membuat laporan polis.

“Kes ini bermula Isnin lalu apabila mangsa yang berusia 50-an didatangi dua suspek termasuk Datuk Seri berkenaan.

“Datuk Seri itu kemudian melakukan pemerasan dengan mengugut mangsa membayar sejumlah hutangnya sebelum mangsa membuat laporan polis.

“Susulan itu, polis menahan kedua-dua suspek termasuk Datuk Seri di sekitar kawasan Masai kira-kira jam 8.30 malam, Khamis lalu.

“Ketika ditahan, Datuk Seri itu sekali lagi bertindak menggugut polis bertugas yang berpangkat Inspektor dengan kata-kata ‘kalau tuan tangkap saya, saya akan porak-perandakan semua balai polis dan hidup tuan’,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Pusat Media Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Ayob Khan berkata, siasatan mendapati suspek menggunakan gelaran Datuk Seri yang tidak diiktiraf, dipercayai diperoleh dari salah sebuah negara jiran.

“Tidak kisah dari dapat gelaran itu dari mana. Dari Malaysia atau dari mana sahaja, sama ada bergelar ‘Datuk Seri’ atau ‘Tan Sri’, jika terlibat dalam jenayah kita akan tangkap, tidak ada yang terlepas,” katanya.

BERITA BERKAITAN: “Walaupun diancam, saya tidak pernah masuk ‘gear reverse’ – Ayob Khan

Katanya, semakan rekod Datuk Seri juga mendapati dia mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau berunsur jenayah kekerasan termasuk dua kali dikenakan tindakan di bawah Ordinan Darurat dengan ditahan di Simpang Renggam dan Pulau Jerejak, sekitar 1980-an serta 1990-an.

“Datuk Seri berkenaan juga banyak menderma wang kepada pertubuhan bukan kerajaan bagi melindungi kegiatannya selain mengaburi pihak berkuasa,” katanya.

Ayob Khan berkata, kedua-dua suspek termasuk Datuk Seri disiasat mengikut Seksyen 385 Kanun Keseksaan kerana pemerasan dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah. – UtusanTV

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram