10 Adab ketika berdoa

Adab ketika berdoa perlu dijaga supaya doa yang dipanjat, dimuliakan dan dimakbulkan Allah. Antara adab tersebut ialah:

  • Berdoalah dengan suara yang lembut

Doa ditujukan kepada Allah yang maha mendengar. Apa sahaja doa, akan didengari Allah. Oleh yang demikian tak perlulah kita mengeraskan suara.

  • Berdoa dengan penuh yakin

Hendaklah berdoa dengan penuh yakin bahawa doa kita akan dimakbulkan. Dari Anas r.a. katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda,

Apabila kamu berdoa, hendaklah kamu bersungguh-sungguh, yakin dalam doa (bahawa Allah Taala mendengar dan mengabulkan). Janganlah kamu berdoa dengan kalimah, “Ya Allah, jika Engkau mahu, berilah aku!” Kerana sesungguhnya Allah Taala tidak dipaksa memenuhi sesuatu doa.”  

  • Memohon sebanyak tiga kali

Ulangilah doa sebanyak 3 kali. Diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim, Abdullah Bin Mas’ud berkata, 

Baginda Rasulullah s.a.w. jika berdoa, Baginda berdoa sebanyak tiga kali, dan jika Baginda memohon Baginda memohon sebanyak tiga kali

  • Berselawat kepada Nabi s.a.w.:

Doa hendaklah dimulakan dan diakhiri dengan selawat ke atas Nabi Muhammad s.a.w.  Sabda Rasul s.a.w.,  “Tiap-tiap doa akan terhalang sehingga dia berselawat kepada Nabi s.a.w. (Hadis Hasan) Doa hendaklah dimulakan dan diakhirkan dengan berselawat ke atas Nabi Muhammad s.a.w.”

  • Menghadap kiblat.

Berdoa menghadap kiblat merupakan amalan Rasulullah iaitu menghadap kaabah sepertimana yang diceritakan oleh  Abdullah Bin Mas’ud r.a. 

Berdoa menghadap kiblat dengan kedua-dua belah tangan diangkat separas bahu
  • Mengangkat kedua-dua belah tangan sambil berdoa

Abdullah Bin Omar r.a. berkata, “Nabi Muhammad s.a.w. mengangkat kedua-dua tangannya, lalu baginda berdoa: Ya Allah, aku berlepas diri kepada Mu daripada apa yang dilakukan oleh Khalid (dua kali). HR Bukhari

Dalam hadis lain, berkata Abu Musa, “Kemudian Baginda s.a.w. mengangkat kedua-dua tangannya, lalu beliau berdoa: Ya Allah, ampunilah dosa ‘Ubaid Bin ‘Amir, dan aku melihat keputihan ketiak Baginda.” HR Bukhari

  • Berwuduk sebelum berdoa

Berkata Abu Musa ra, “Sebelum ‘Ubaid Abu ‘Amir meninggal dunia, dia telah berpesan kepada aku agar aku menyampaikan salamnya kepada Nabi Muhammad s.a.w. dan memohon doanya agar Allah mengampuni dosa-dosanya.

Ketika pesanan tersebut aku sampaikan kepada Baginda s.a.w. lalu Baginda menyuruh ku agar mengambil sebekas air untuknya. Kemudian Baginda berwuduk dan mengangkatkan kedua-dua tangannya sambil berdoa, “ Ya Allah, ampunilah dosa ‘Ubaid Abi ‘Amir” dan aku melihat keputihan ketiak Baginda.

Baginda seterusnya berdoa, “ Ya Allah, jadikanlah dia pada hari kiamat sebagai orang yang mulia mengatasi kebanyakan makhluk Mu.” Lalu aku pun berkata, “Mohon ampunan jugalah untuk aku ya Rasulullah” Kemudian Baginda berdoa, “ Ya Allah, ampunilah dosa-dosa Abdullah Bin Qais (Abu Musa), dan masukkanlah dia ke dalam tempat masuk yang mulia pada hari kiamat.” HR Bukhari & Muslim

  • Berdoa Sambil Menangis

Dari Abdullah Bin ‘Amr Bin Al ‘Ash r.a. bahawa Nabi Muhammad s.a.w. membaca ucapan Nabi Isa a.s. “Sekiranya Engkau seksa mereka sesungguhnya mereka adalah hamba-hamba Mu, dan sekiranya Engkau ampuni mereka, sesungguhnya Engkau adalah Maha Mulia lagi Maha Bijaksana”. Al Maidah: 11

Lalu Rasul s.a.w. mengangkatkan kedua-dua tangannya dan berdoa, “Ya Allah, umatku, umatku”  (sambil Baginda menangis). Selanjutnya Allah S.W.T. berfirman kepada Jibril a.s.

Hai Jibril, pergilah engkau kepada Muhammad, dan katakan kepadanya, sesungguhnya Kami akan meredainya dan umatnya, dan kami tidak akan menyusahkan kamu” HR Muslim

  • Berdoa Dengan Merendah Diri

Allah S.W.T. menceritakan tentang keadaan para Nabi ketika mereka memohon kepada Nya, antaranya, “Dan (ingatlah kisah) Ayyub, ketika ia menyeru Tuhannya, “Ya Tuhanku, sesungguhnya aku telah ditimpa penyakit dan Engkau adalah Tuhan yang Maha Penyayang di antara semua penyayang” al Anbiyaa: 83

“Dan (ingatlah kisah) Zakaria, tatkala ia menyeru Tuhannya, “Ya Tuhanku, janganlah Engkau membiarkan aku hidup seorang diri, dan Engkaulah waris yang paling baik”. al Anbiyaa: 89

  • Berdoa pada beberapa waktu dan keadaan yang mustajab

Allah S.W.T. telah menetapkan beberapa waktu atau masa yang sangat baik jika kita berdoa. Waktu-waktu itu antaranya ialah : 

  1. Malam Lailatul Qadr,
  2. Dua pertiga malam,
  3. Setelah solat lima waktu dan pada waktu bersujud dalam sujud rakaat terakhir (doa dalam hati tanpa mengeluarkan suara)
  4. Waktu antara azan dan iqamah
  5. Waktu berbuka puasa dan bersahur
  6. Hujan yang lebat

Rasulullah s.a.w. pernah ditanya, “Doa yang manakah yang paling didengar (diterima)?” Jawab Baginda, “(Doa) akhir malam dan setelah solat wajib.” HR at-Tarmizi

Doa pada sepertiga akhir malam sangat makbul. Diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a. Rasulullah s.a.w. bersabda,

Allah (Yang Maha Suci Lagi Agung) turun ke langit dunia pada sepertiga yang akhir di setiap malam. Dia berfirman, “Barang siapa berdoa kepada Ku, akan Ku perkenan doanya. Barang siapa meminta kepada Ku akan Ku beri dia. Siapa yang minta ampun, akan Ku ampuni dia” HR Bukhari

____________________________________

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram