kutip makanan jatuh

Kutip makanan jatuh, awas! ini amaran Nabi s.a.w. Mencari keberkahan dalam makanan yang kita makan setiap hari adalah satu kewajipan. Ia bukan sahaja halal tetapi mestilah bersih serta berkhasiat. Setiap makanan yang kita peroleh adalah anugerah dan nikmat dari Allah S.W.T. yang seharusnya kita hargai waima sebiji gula-gula pun. Itulah tanda kita bersyukur dengan rezeki yang Allah kurniakan.

Dalam sebuah hadis dari Jabir r.a. bahawa Baginda s.a.w. telah mengingatkan para sahabat agar menghargai makanan, sabdanya

“Apabila ada sepotong makanan kalian yang jatuh, maka ambillah potongan makan yang jatuh itu kemudian bersihkan dan makanlah. Dan janganlah orang itu membiarkan makanan tersebut untuk syaitan. Dan jangan dia mengeringkan tangannya dengan sapu tangan (tisu atau kain) sehingga dia menjilat jari jemarinya. Kerana sesungguhnya dia tidak mengetahui pada bahagian manakah dari makanan dia itu yang terdapat berkah.” – (HR Muslim)

Jangan biarkan makanan yang jatuh dinikmati oleh syaitan.

Hadis ini jelas memberi peringatan kepada kita supaya tidak sesekali bersikap membazir dengan nikmat yang Allah berikan. Sekiranya makanan tersebut masih elok dan boleh dimakan selepas dibersihkan maka ambillah, tetapi jika tidak dapat diselamatkan, anggaplah itu bukan rezeki kita.

Kita tidak mahu makanan yang masih elok dibuang dan dibazirkan begitu sahaja walaupun sudah jatuh. Sedangkan Nabi s.a.w. melarangnya kerana tidak mahu makanan tersebut dimakan oleh syaitan sehingga hilang keberkahannya.

Bahkan Baginda s.a.w. juga melarang membasuh atau mengeringkan tangan sebelum dia menjilat jemarinya kerana mungkin sisa-sisa makanan yang terdapat di jemarinya itulah yang ada keberkahannya.

Dalam pada itu, selain dari doa sebelum makan yang lazimnya kita amalkan, Baginda s.a.w. juga turut mengajarkan doa lain sepertimana yang disebut oleh Ibnu Abbas r.a. Rasulullah s.a.w. bersabda,

“Jika di antara kalian hendak memakan makanan maka hendaklah mengucapkan (doa) Allahumma Baarik lana Fiihi wa athimna khairan minhu, (Ya Allah! Berkahilah bagi kami apa yang ada di dalamnya dan berilah kami makanan yang lebih baik darinya)

Bacalah doa ketika makan untuk menghindari syaitan.

“Dan jika kalian minum susu maka ucapkanlah, “Allahumma Baarik lana Fiihi wa zidna minhu fa Innahu Laisa Syai-un Yujzi-u Minath Tha’ami Wasy Syaraabi Illal labana” (Ya Allah! Berkahilah bagi kami di dalamnya dan tambahkanlah kepada kami darinya kerana sesungguhnya tidak ada dari makanan dan minuman yang mencukupi kecuali susu).” – HR Abu Dawud & Tirmizi (hadis hasan)

Bacaan setelah makan

Indahnya Islam ini, usai makan Baginda s.a.w. turut menitipkan beberapa adab dan bacaan doa yang boleh diamalkan supaya setiap makanan yang masuk ke dalam perut, insya Allah mendapat limpahan rahmat dan keberkatan dari Allah. Antara kelebihan adab dan bacaan yang boleh kita amalkan usai makan ialah,

Pertama: Diampunkan segala dosa.

Dari Muadz bin Anas r.a. Rasulullah s.a.w. bersabda, “Sesiapa yang usai makan kemudian berdoa, “Alhamdulillahil ladzii Atha’mana hadzat Thaa’ma wa Razaqonihi min Ghairi Haulin Minnii walaa Quwwah” (Segala puji bagi Allah yang telah memberiku makanan ini, dan memberi rezekiku ini tanpa kesusahan dan kekuatan dariku) maka akan diampunkan segala dosanya yang telah lalu.” – HR Abu Dawud & Ibnu Majah (hadis bertaraf hasan)

Kedua: Dari Abu Umamah r.a. berkata, “Baginda s.a.w. apabila mengangkat piringnya akan mengucapkan, “Segala puji bagi Allah, bagi Nya yang banyak kebaikan dan keberkahan dalam makanan tanpa pernah habis, tanpa pernah terpisah dan selalu memerlukannya, ya Tuhan kami.” – HR Bukhari

Hargailah makanan dengan berdoa dan bersyukur kepada Allah S.W.T. Insya Allah Allah akan melimpahkan rezeki dan keredaan kepadanya (kredit Subhendu Sarkar/LightRocket via Getty Images).

Ketiga: Dari Abu Ayyub al-Ansari r.a. ia berkata, “Rasulullah s.a.w. jika makan atau minum berdoa, “Segala puji bagi Allah yang telah memberi makanan dan minuman, membolehkan dan menjadikannya sebagai jalan keluar.” – HR Abu Dawud

Keempat: Mendapat reda Allah

Dari Anas r.a. ia berkata, Rasulullah s.a.w. bersabda, “Sesungguhnya Allah reda kepada hamba yang apabila makan makanan ia memuji Allah atas makanannya atau minum minuman kemudian memuji Allah atas minumannya.” – HR Muslim

Kelima: Memperoleh ganjaran yang lebih baik

Dari Anas r.a. ia berkata, “Rasulullah s.a.w. bersabda, “Tidaklah Allah memberi suatu nikmat kepada seorang hamba kemudian ia mengucapkan Alhamdulillah kecuali Dia akan memberikan sesuatu yang lebih baik dari yang ia dapatkan.” – HR Ibnu Majah

Keenam: Doa sesudah makan, “Ya Allah! Engkau telah memberi makan, memberi minum, mencukupkan, menenangkan, memberi hidayah, menghidupkan maka bagi Mu segala puji atas segala yang Engkau berikan.” – HR Ahmad   

Inilah amalan-amalan yang Baginda s.a.w. amalkan sehari-hari ketika menikmati makan. Ingatlah keberkatan dalam makanan memberi kesan yang besar kepada diri seseorang. Wallahu a’lam

_____________________________

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram