Tasik Beris merupakan sebuah danau buatan manusia yang terletak di daerah Sik, Kedah. Ia terbentuk oleh pembinaan empangan Beris pada tahun 2000. Keluasan kawasan tadahan air ini berjumlah 116 kilometer persegi.

Perjalanan menuju ke Tasik Beris dihidangkan dengan pemandangan alam yang menghijau di sepanjang laluan yang berbukit sehingga sampai ke hulu danau.

Mungkin ramai yang tidak tahu di sebalik tasik yang indah ini, terdapat tinggalan sebuah sekolah yang telah tenggelam ke dasar tasik.

Tasik Beris.

Salah seorang penduduk tempatan di sini yang mesra dikenali sebagai Cikgu Rashid yang pernah ditemui dahulu memberitahu, peristiwa tenggelamnya sekolah itu berlaku sekitar tahun 2002. Pada tahun tersebut, tasik buatan ini sudah mula diisi dengan air.

Lokasi awal sebelum pembentukan tasik terdiri daripada beberapa buah perkampungan. Salah satu daripadanya merupakan Kampung Sungai Batang. Di kampung ini terdapat sebuah sekolah yang dikenali sebagai Sekolah Kebangsaan Sungai Batang (SKSB).

Menurut Cikgu Rashid, sekolah tersebut dibina sekitar tahun 1960-an di dalam kampung berkenaan. Namun, sekolah itu dipindahkan kali kedua di kawasan Tasik Beris selepas jalan raya siap dibuat. Ketika itu, danau ini masih belum wujud. Di situ hanya ada kampung dengan hutan dan bukit di kawasan sekeliling.

Sebenarnya, Cikgu Rashid pernah menggalas tugas sebagai guru besar untuk tempoh lima tahun di sekolah tersebut. Dia mengakhiri tugasan di sana pada tahun 1992 selepas ditukarkan ke sekolah lain.

Sekolah yang tenggelam di dalam Tasik Beris itu merupakan sekolah yang sama tempat Cikgu Rashid pernah berkhidmat satu ketika dahulu. Peristiwa tersebut berlaku disebabkan oleh pembinaan empangan Beris. Atas faktor penubuhan kawasan tadahan air yang perlu dijalankan menyebabkan kesemua penduduk dipindahkan ke lokasi baru.

Tangga menuju padang sekolah yang masih boleh dilihat sehingga hari ini.

Faktor tersebut menyebabkan SKSB mengalami keadaan yang sama iaitu dipindahkan ke penempatan baru. Kesannya, wujud tinggalan asas yang dikatakan masih berbaki pada dasar tasik ini. Walau bagaimanapun, tapak binaan ini tidak dapat dilihat kerana kedudukannya berada dalam air. Namun begitu, struktur padang bola masih lagi boleh dilihat sehingga kini. Dari jauh, pengunjung boleh melihat tangga yang masih kekal berada pada permukaan tasik. Tangga berkenaan merupakan laluan menuju ke padang bola sekolah yang masih bersisa.

Tidak hanya padang, malah jalan raya yang pernah digunakan penduduk suatu ketika dulu juga boleh dilihat dari seberang tasik. Laluan yang muncul dari arah hutan kelihatan terputus dengan air yang melimpah dari tasik. Bila tiba musim panas, air tasik yang berkurang akan menimbulkan kesan laluan yang tenggelam.

Padang Sekolah Kebangsaan Sungai Batang daripada pemandangan atas tasik.

Selain sekolah, perkampungan, masjid dan dewan semuanya dipindahkan ke penempatan baru yang dinamakan sebagai Bandar Baru Beris Jaya. Pada masa yang sama, perpindahan tersebut menjadi pertukaran lokasi ketiga bagi Sekolah Kebangsaan Sungai Batang.

Menurut sumber yang diperoleh daripada Majlis Daerah Sik (MDSIK), keseluruhan rumah yang terbabit dengan pemindahan adalah sebanyak 558 buah keluarga termasuk empat buah rumah di Kuala Beris. Manakala jumlah penduduk yang terlibat sebanyak 3,600 orang.

Selain perkampungan dan beberapa kemudahan awam, dilaporkan sejumlah 4,000 kubur turut dipindahkan dengan kos sebanyak RM8 juta. Sepanjang pemindahan yang dijalankan oleh pihak yang dilantik Pejabat Agama Islam, terdapat sebuah kubur yang masih dalam keadaan baik dan tidak reput. Berdasarkan maklumat orang kampung, beliau adalah seorang bidan dan juga guru al-Quran kampung.

Tasik Beris.

Pembinaan empangan ini bertujuan untuk mengawal aliran air dalam Lembangan Sungai Muda. Dengan kata lain, menambah jumlah air yang boleh digunakan bagi kegunaan domestik (minuman) dan industri selain untuk pengairan padi. Dengan terbinanya empangan ini, ia dapat menampung keperluan tersebut terutamanya di kawasan daerah selatan Kedah dan Pulau Pinang.

Kisah lain yang menarik : https://utusantv.com/2021/01/21/riwayat-duka-puteri-lindungan-bulan-puteri-berdarah-putih-yang-disembunyikan-sehingga-ke-nafas-terakhir/

__________

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram.