POLIS Johor hari ini mengesahkan berita penangkapan Datuk Seri Nicky Liow Soon Hee adalah palsu.
Suspek dipercayai dikehendaki untuk membantu siasatan berhubung sindiket pengubahan wang haram dan kesalahan kumpulan jenayah terancang baru-baru ini.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, pihaknya masih meneruskan usaha-usaha mengesan suspek itu dengan kadar segera untuk membawanya ke muka pengadilan.
“Pihak polis Johor ingin menegaskan kepada orang ramai untuk tidak menularkan ataupun menyebarkan sebarang berita tidak benar tanpa merujuk kesahihannya kepada pihak yang bertanggungjawab,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas mengenai berita penangkapan Liow yang tular sejak semalam menerusi media sosial.
BERITA BERKAITAN Kisah dua Datuk Seri, satu ditahan satu lagi diburu – Ayob Khan
Ahad lepas, Ayob Khan dipetik sebagai berkata pihaknya sedang mengesan suspek berumur 33 tahun itu.
Alamat terakhir Liow ialah di Trigon Residence Unit 1009, Puchong, Selangor dan merupakan pengasas Winner Dynasty Group dan suspek dikehendaki untuk siasatan di bawah Seksyen 130 V hingga 130 ZB Kanun Keseksaan bagi kesalahan kumpulan jenayah terancang.
Suspek dipercayai terbabit dalam sindiket yang terlibat dengan banyak penipuan.
“Sindiket ini besar dan banyak membabitkan penipuan dan scam. Suspek adalah seorang yang berpengaruh dan mempunyai banyak hubungan dengan ramai orang berpengaruh termasuk pegawai daripada agensi penguat kuasa.
“Mana-mana individu yang cuba melindungi suspek akan diambil tindakan tegas tanpa mengira sama ada orang awam atau agensi penguat kuasa termasuk polis,” katanya dalam sidang akhbar baru-baru ini.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

