KETUA sindiket bergelar Datuk yang memonopoli tender kerajaan berjumlah RM3.8 bilion dilapor memiliki dua helikopter, sebuah kapal mewah, dan kereta-kereta mewah bernilai RM15.7 juta.
Wang tunai berjumlah RM3.5 juta ditemui disimpan oleh ketua kartel projek berusia 47 tahun itu semasa serbuan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di rumahnya semalam.
Selain kenderaan, helikopter dan kapal mewah, turut dirampas ialah hartanah termasuk banglo, rumah kedai dan pejabat bernilai RM29 juta dalam serbuan yang dilakukan SPRM sejak semalam, menurut laporan Harian Metro Online.

Sumber berkata, sebanyak 644 akaun individu dan syarikat yang dianggarkan bernilai RM100 juta turut dibekukan dalam siasatan kes kartel projek.
“Kartel projek yang diketuai oleh seorang ahli perniagaan berusia 47 tahun ini telah membolot projek-projek kerajaan menerusi tender dan sebutharga bernilai lebih RM3.8 billion. Difahamkan, sindiket ini sudah beroperasi sejak tahun 2014 hingga 2021.
BERITA BERKAITAN SPRM tumpas sindiket kartel monopoli ratusan tender kerajaan, 7 suspek ditahan
“Kemewahan yang ditunjukkan oleh Datuk yang juga ketua sindiket ini amat luar biasa. Selain dari memiliki nilai hartanah dan wang tunai yang luar biasa jumlahnya, beliau juga memiliki beberapa kereta mewah, sebuah kapal mewah dan dua helikopter.
Modus operandi kumpulan kartel projek ini ialah membuka lebih 150 buah syarikat dengan setiap individu yang digunakan nama sebagai pengarah syarikat dibayar gaji antara RM5,000 hingga RM8,000. Syarikat-syarikat ini adalah milik beliau. Dipercayai 114 orang telah digunakan nama untuk membuka lebih 150 syarikat, “katanya.
Menurutnya, kesemua syarikat ini akan digunakan secara bergilir-gilir untuk memasuki tender dan sebutharga di kementerian dan agensi kerajaan.
“Maklumat tender atau sebutharga termasuk spesifikasi projek dan harga siling projek akan disalurkan oleh individu dalam kementerian atau agensi.
“Hasil siasatan SPRM mendapati hampir kesemua syarikat yang digunakan menggunakan maklumat palsu dari segi kelayakan akademi, sijil profesional mahupun penyata kewangan untuk menyakinkan lembaga tender berhubung keupayaan syarikat-syarikat untuk melaksanakan projek,” katanya.
Media semalam melaporkan SPRM membongkar sindiket kartel yang dipercayai memonopoli ratusan tender kerajaan sejak 2014, susulan penahanan tujuh individu, setakat ini.
Individu berkenaan, termasuk ketua kartel berusia 47 tahun yang ditahan dipercayai menguasai 345 tender projek di beberapa kementerian dan agensi kerajaan.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki, tidak menolak kemungkinan pihaknya akan melakukan lebih banyak tangkapan berkaitan kes itu dalam masa terdekat.
Dalam perkembangan berkaitan, SPRM turut menahan seorang juru ukur bahan Gred 48 yang disyaki membocorkan maklumat berhubung spesifikasi projek kepada ketua sindiket untuk memudahkan penyediaan dokumen tender.
Menurut sumber, lelaki berusia 38 tahun itu yang ditahan SPRM di rumahnya di Ampang, semalam menerima sebanyak RM1.2 juta bagi menyalurkan maklumat kepada sindiket kartel projek.
“Lelaki berkenaan terbabit dalam kerja-kerja penyediaan ‘Bill of Quatity (BQ)’ bagi projek yang ditawarkan agensi terbabit.
“Beliau dipercayai menerima rasuah bagi membocorkan maklumat berhubung spesifikasi projek kepada ketua sindiket untuk memudahkan penyediaan dokumen tender,” katanya.
Menurutnya, siasatan kes masih dilakukan dan dipercayai lebih ramai akan ditahan berhubung kes ini.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Azam Baki mengesahkan tangkapan ini dan enggan mengulas lanjut.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

