KETIKA awal tersebarnya rakaman audio perbualan yang didakwa antara Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim, ramai juga teruja dan ada bertanya benar atau tidak.

Namun, kerana sudah masak dengan politik, ramai dalam kalangan rakyat hanya mengangkat isu tersebut seketika sahaja di kedai kopi.

Hanya orang politik berkepentingan sahaja masih beria-ia nampaknya.

Semua sedar, kisah audio, foto mahu pun video dalam kancah politik Malaysia bukan baru.

“Besi tak boleh jadi saksi” dan sebagainya masih segar di ingatan.

Justeru, bertegang leher keluar anak tekak sekali pun, ahli politik tetap boleh ‘melupakan’ kandungan video atau audio bila ada kepentingan bersama.

Paling epik sudah tentu kisah Anwar dan Tun Dr Mahathir manakala yang lain-lain tak kurang hangat juga sama ada di hotel Sabah, audio tawar menawar dan yang lain-lain.

Sebab itu, sehari dua sudah ramai tak ambil kisah kerana tahu itu semua sebahagian daripada pertarungan politik elit.

Baca artikel berkaitan: Kalau betul apa masalahnya – Anwar

Ini politik jahat, jijik mahu hancurkan UMNO–Ahmad Zahid

Malah kalau benar sekali pun, “ada aku kisah” dan tak menghairankan pun kerana politik Malaysia memang perkara ajaib di dunia yang kelapan.

Sebab itu, makin ramai peserta rancangan lawak terus menyindir ahli politik Malaysia dalam komedi mereka.

Itu lah harga mereka ketika ini. Prinsip memang tak boleh bagi kaya tapi boleh membuatkan orang politik dihormati yang sepatutnya ada pada jawatan mereka.

Dan yang orang bercakap sehari dua ni adalah kalau benar tulen rakaman audio Anwar dan Zahid (yang dinafikan keduanya) ialah siapa pula yang rakam?

Adakah perbualan dipintas? Mengapa pula tidak disentuh tentang perbuatan pintas dalam komen menteri berkenaan.

Soal politik itu satu hal, tapi soal undang-undang satu bab.

Undang-undang mana boleh memintas perbualan telefon atau seumpamanya?

Kalau dibenarkan memintas, atas apa alasan?

Rujuk Kanun Acara Jenayah di bawah Seksyen 116 C atau Akta SPRM mengenai pihak yang diberi kuasa ‘wiretapping‘.

Justeru, bab ini melibatkan rakyat kerana ini persoalan undang-undang dan pencerobohan privasi.

Tak lama dahulu pernah seorang kerabat diraja juga mengadu hal seperti ini.

Nak kata kalau tak buat salah apa nak takut, bolehlah juga tapi itu kenyataan zaman sebelum ada demokrasi.

Ingatlah, negara ini berpaksi Rule of Law, apa nak buat kena ikut undang-undang. Two wrongs don’t make a right.

Atau ada kesalahan undang-undang lain dalam pemantauan pihak berkuasa ke atas individu-individu dalam audio terbaru ini? Tanya sahaja.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram