MEMANG menyedihkan. Siapalah agaknya ibu dan bapa kepada bayi itu apabila mereka sanggup meninggalkannya di tepi jalan kerana tidak sanggup memeliharanya.
Nasib baik bayi yang dipercayai baru dilahirkan itu dijumpai awal selepas ditinggalkan, kalau tidak sudah tentu dia akan digigit nyamuk, serangga atau lebih teruk lagi digigit anjing liar.
Bayi lelaki yang masih bertali pusat itu ditemui oleh seorang lelaki selepas dia ditinggalkan di pintu pagar Persatuan Perkembangan Kesihatan Keluarga Pulau Pinang, Jelutong, Georgetown, malam tadi.
Bayi itu dibaluti tuala hijau dan terdapat sekeping nota bertulis ‘Tolong jaga budak ini’ bersamanya .
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong, berkata bayi itu ditemui lelaki berusia 43 tahun, ketika melawat rakan lamanya di persatuan berkenaan kira-kira pada pukul 7.40 malam.
Beliau berkata, ketika membuka pintu utama berhampiran pagar persatuan, lelaki terbabit terlihat sesuatu yang dibaluti dengan tuala hijau dan ditinggalkan di atas jalan.
Ketika ditemui oleh lelaki terbabit, bayi berkenaan tidak menangis dan dalam keadaan baik sebelum dibawa masuk ke dalam pejabat persatuan itu bagi dipakaikan lampin dan pakaian.
“Rakan lelaki berkenaan yang berada di bangunan persatuan itu juga turut memberi susu formula kepada bayi terbabit,” katanya di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Soffian berkata, bayi berkenaan kemudian dibawa menaiki ambulans bagi mendapatkan rawatan ke Hospital Pulau Pinang (HPP) berikutan dikesan mengalami jaundis.
“Kamera litar tertutup (CCTV) di situ tidak berfungsi pada hari kejadian, namun ada satu lagi CCTV berhampiran kawasan itu yang dipercayai boleh membantu siasatan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi pegawai penyiasat 019-4735105 atau menerusi WhatsApp rasmi Ibu Pejabat Polis (IPD) Daerah Timur Laut di talian 019-5641822 atau ke balai polis yang berhampiran,” katanya lagi.
Kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan.

