SELEPAS beberapa tahun menyepi, bazar Aidilfitri di ibu kota akan kembali semula ke Lorong Tuanku Abdul Rahman (TAR) tahun ini membabitkan penyertaan 208 penjaja.
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam kenyataan hari ini memaklumkan, bazar Aidilfitri yang sebelum ini beroperasi di Jalan Raja akan bermula 17 April hingga 12 Mei depan setelah ditangguhkan pelaksanaannya tahun lalu ekoran penularan Covid-19.
Menurut DBKL, lokasi bazar itu akan bermula dari belakang bangunan Kompleks Campbell sehingga ke susur keluar persimpangan Masjid India bermula 10 pagi hingga 12 tengah malam.
Sehubungan itu, kata DBKL, tapak tradisi pasar malam di Lorong TAR setiap Sabtu akan dipindahkan operasi ke Jalan TAR sepanjang bulan Ramadan iaitu pada 17 dan 24 April, 1 Mei serta 8 Mei tahun ini.
“Kawasan Lorong TAR yang menempatkan penjaja bazar Aidilfitri akan dipasang pagar di sepanjang jalan bagi mengawal laluan keluar masuk pengunjung dan akan dikawal selia sepenuhnya oleh DBKL,” kata kenyataan tersebut seperti dilapor BERNAMA.com.
Baca artikel berkaitan: Kompleks Campbell tawar tapak bazar sempena Ramadan
Sementara itu, kenyataan itu turut memberitahu sebahagian Jalan TAR bermula dari persimpangan Jalan Esfahan (selepas Pusat Beli-belah Sogo) sehingga ke persimpangan Jalan Melayu akan ditutup sepenuhnya kepada kenderaan bagi memberi laluan kepada aktiviti pasar malam bermula 12 tengah hari hingga 12 tengah malam pada tarikh berkenaan.
DBKL turut mengingatkan penganjur, peniaga, pekerja serta pengunjung bazar untuk mematuhi segala peraturan, syarat dan SOP yang ditetapkan MKN dan Kementerian Kesihatan.
“Mana-mana individu atau penganjur yang melanggar peraturan atau SOP ditetapkan bagi mencegah penularan Covid-19 akan berdepan kompaun sehingga maksimum RM10,000 terhadap individu dan RM50,000 kepada penganjur.
“Tindakan penutupan gerai, bazar Ramadan atau Aidilfitri terbabit boleh dilaksanakan DBKL,” menurut kenyataan itu.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

