Polis bongkar komplot 19 syarikat daging sejuk beku, termasuk edar daging diragui halal

Dari Penulis

MODUS operandi mereka mudah. Mereka menyalahgunakan permit import daging, terima bekalan dari syarikat tempatan dan juga dari Brazil sebelum membungkus semula kesemua bahan makanan tersebut, termasuk daging yang diragui status halal.

Serbuan mendapati syarikat-syarikat ini menempah kotak berlogo halal dipercayai digunakan untuk membungkus daging tersebut dan mengedarkan ke seluruh negara dengan mendapat keuntungan sehingga RM52 juta setahun.

Bagaimanapun, taktik 19 syarikat pengedar daging sejuk beku import itu yang berkomplot mengedar lebih 1,000 tan makanan itu dibongkar polis melalui Op Kartel Daging yang dijalankan di seluruh negara.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed, berkata kesemua syarikat itu berkomplot dengan sebuah syarikat pengimport sah dari negara Brazil yang hanya layak mengimport sebanyak 27 tan daging bagi satu permit yang dikeluarkan.

Bagaimanapun, katanya, syarikat berkenaan hanya menggunakan empat daripada lima permit pengimport yang dikeluarkan bagi tahun lalu, selain didapati sudah mengedarkan kepada 202 pelanggan menerusi bukti invois yang dirampas.

Pada masa sama, polis sedang mengesan dua dalang utama komplot itu berusia 42 dan 44 tahun, selain sudah menahan 36 suspek iaitu 34 daripadanya pengarah syarikat dan dua pula pengurus berusia 28 hingga 67 tahun dalam operasi yang dilancarkan pada 9 April lalu.

“Polis menjalankanj siasatan lanjut susulan serbuan di gudang sejuk beku di Senai, pada Disember tahun lalu, sehingga membawa kepada lapan kertas siasatan dibuka dan tujuh pertuduhan terhadap tiga individu.

“Dua kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan peringkat Bukit Aman dan Seksyen 120B Kanun Keseksaan di Kontinjen Johor.

“Siasatan bagi Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan menunjukkan tiada keterangan untuk menuduh mana-mana individu, namun siasatan di Kontinjen Johor sebaliknya mendapati wujud elemen yang menjurus kepada kesalahan pakat jahat jenayah,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, hari ini.

Turut hadir, Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay.

“Siasatan mendapati syarikat ini banyak menerima tempahan kerana menawarkan harga lebih murah antara 20 sen hingga RM1 sekilogram, selain memberi kemudahan pembayaran lebih mudah iaitu kredit selama tiga bulan berbanding syarikat lain yang menerima pembayaran tunai.

“Syarikat ini juga mampu memenuhi permintaan pelanggan kerana sentiasa mempunyai stok mencukupi sedangkan siasatan mendapati syarikat itu hanya menggunakan empat permit bersamaan 108 tan daging.

“Kegiatan ini menyebabkan timbulnya isu keraguan status halal terhadap bekalan daging yang ada di pasaran, bukan sahaja memberi kesan kepada masyarakat malah daging yang dibungkus semula tidak dapat disahkan tahap kebersihannya dan tidak diperakui veterinar,” kata Huzir.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Taman Rimba Kiara bukti kuasa di tangan pemimpin bersih mampu selesai masalah rakyat – Hannah

TIMBALAN Setiausaha Agung DAP, Hannah Yeoh menegaskan penyelesaian isu Taman Rimba Kiara selepas 44 tahun membuktikan bahawa kuasa yang...

More Articles Like This