Kadar kebolehjangkitan terus meningkat, 7 negeri atasi nasional

Afiq Mohd. Shah
Afiq Mohd. Shah
Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016. Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

Dari Penulis

KADAR kebolehjangkitan Covid-19 atau R naught (Rt) mengikut kes seharian di seluruh negara terus mencatatkan peningkatan semalam kepada 1.14.

Pada masa sama, Terengganu masih merekodkan kadar kebolehjangkitan paling tinggi berbanding negeri lain iaitu 1.30 walaupun jumlah itu turun sedikit berbanding 1.56 yang dicatatkan Ahad lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, kadar Rt menyaksikan peningkatan hari demi hari dengan kadar terbaharu ini adalah paling tinggi sejak sekian lama.

Beliau berkata, Rt kali terakhir merekodkan di bawah paras satu adalah pada 7 April lalu sebelum kembali naik sehingga mencecah 1.09 kelmarin dan 1.14 semalam.

Berdasarkan data yang dikongsi di akaun Twitter miliknya, tujuh negeri lain selain Terengganu yang mengatasi angka Rt nasional adalah Sabah (1.21), Kelantan (1.27), Kuala Lumpur (1.15), Putrajaya (1.26), Sarawak (1.19) dan Perlis (1.17).

Tiga negeri lain pula kata Dr. Noor Hisham, iaitu Kedah, Perak dan Negeri Sembilan turut merekodkan Rt melebihi angka 1.0 iaitu masing-masing pada kadar 1.08, 1.06 dan 1.06.

Enam lagi negeri mencatatkan kadar Rt di bawah 1.0 iaitu Selangor (0.98), Pulau Pinang (0.89), Johor (0.90), Melaka (0.91), Labuan (0.97) dan Pahang (0.96).

Baca artikel berkaitan: Kes naik lagi cecah 1,889, Selangor & Sarawak tertinggi

Nilai Rt terendah yang pernah direkodkan di negara ini ialah 0.81 pada 3 Mac lalu.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum ini menjangkakan negara bakal mencapai kadar Rt kurang 1.0 menjelang Mei depan.

Walau bagaimanapun, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Isnin lalu memberi amaran bahawa negara mungkin berhadapan dengan gelombang keempat penularan Covid-19 berdasarkan kepada data daripada KKM.

Graf kadar kebolehjangkitan (Rt) negara sejak awal Mac lalu yang dikongsikan Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah.

Kata Ismail Sabri, walaupun Malaysia masih merekodkan kadar empat angka kes harian iaitu sekitar 1,000 kes, namun perkembangan itu masih belum menunjukkan kita selamat daripada dijangkiti wabak berkenaan.

Kerajaan turut mengumumkan enam negeri atau wilayah dikekalkan status pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) berikutan bilangan kes jangkitan masih tinggi dan masih banyak zon merah.

Negeri dan wilayah yang terlibat adalah Selangor, Kuala Lumpur, Johor, Pulau Pinang dan Kelantan yang disambung PKPB berkuat kuasa 15 hingga 28 April manakala Sarawak bermula 13 hingga 26 April.

Sebanyak tujuh jajahan atau daerah di Kelantan dan lima lagi di Sarawak pula dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama dua minggu bermula 16 hingga 29 April ini berikutan peningkatan kes positif Covid-19 secara mendadak di kedua-dua negeri terbabit.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Berkaitan

Kes buli: ‘Jika terbukti salah, mereka hendaklah disingkirkan daripada MRSM’

PENGERUSI Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki mengarahkan tindakan tegas diambil terhadap enam pelajar Tingkatan Lima...

More Articles Like This