Nadzim Johan pada sidang akhbar bersama wakil-wakil NGO Islam hari ini.

TINDAKAN tegas dan keras pihak berkuasa amat penting dalam isu majikan membelasah pengawal peribadi hanya kerana berpuasa sebagai pengajaran kepada semua.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, hal ini penting untuk mengelakkan segelintir pihak daripada mengambil tindakan sendiri.

Justeru katanya, bukan hanya polis, tetapi semua agensi termasuk Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) perlu menjalankan siasatan menyeluruh ke atas kekayaan suspek yang turut terlibat judi haram dan ah long.

“Siasat sedalam-dalamnya dan ambil tindakan sekeras-kerasnya. Hanya ini boleh meredakan kerana sahabat di luar ramai yang tengah marah dengan apa dilakukan suspek yang jelas satu penghinaan.

“Menghina agama, menghina Perlembagaan malah menghina Yang di-Pertuan Agong selaku ketua agama Islam di negara ini,” katanya dalam sidang akhbar bersama pemimpin NGO lain hari ini.

Nadzim juga pada masa sama turut mengaitkan apa yang berlaku kerana perpecahan bangsa Melayu dan umat Islam sendiri hinggakan ada pihak tidak takut bertindak ikut kemahuan sendiri.

Justeru, beliau mengingatkan pemimpin negara supaya tidak hanya menumpukan soal politik semata-mata.

“Jangan asyik politik, politik dan politik. Tengoklah sama hal seperti ini,” tegasnya.

Baca artikel berkaitan: Pukul pengawal peribadi, terbongkar pula ‘bisnes’ judi online majikan

Kena tegas setegas-tegasnya lindungi hak beragama rakyat

Tindakan tegas dan keras oleh pihak berkuasa amat diharap ramai dalam kes majikan pukul pengawal kerana berpuasa.- Foto MEDIA SOSIAL

Sementara itu, Nadzim juga meminta pihak berkuasa melihat masalah ini dengan perspektif yang luas mengapa perkara sedemikian boleh berlaku.

Beliau tahu, insiden di Klang itu juga tidak dipersetujui kebanyakan orang bukan Islam namun apa yang berlaku perlu ditangani secara menyeluruh.

“Ini termasuk persoalan sistem mungkin ada yang tak kena dengan sistem kita kerana masih ada masyarakat tak faham soal ibadat puasa.

“Sistem ini termasuk mungkin kerana kita mempunyai sekolah berbeza-beza,” jelasnya.

Tambah Nadzim, apa yang berlaku dalam kes ini juga ialah manifestasi kegagagalan jelas yang perlu ditangani.

“Kita tengoklah Indonesia dan Thailand berbanding dengan kita dalam bab ini, bab hormati negara.

“Kalau tak disatu-satukan hati rakyat Malaysia, ia boleh mencetuskan hal lebih buruk.

“Maka, perkukuhlah patriotisme kita, tubuh jawatankuasa berkaitan untuk atasi isu-isu seperti ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, Nadzim berkata, pihaknya sedia menjadi sekretariat menerima aduan kes-kes hubungan pekerja dengan majikan dalam bab bergama,

Katanya, ini termasuk dalam kalangan pembantu rumah warga asing yang bekerja dengan majikan bukan Islam.

“Kita pun sering tampil membantu mangsa dalam kes seumpama ini. Kali ini kita jadi sekretariat, tampillah yangmana jadi mangsa,” katanya.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram