PKP Keningau tamat, PKPD beberapa lokaliti mulai esok

0
208
Ismail Sabri Yaakob/ Gambar FB MKN

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan di Keningau, Sabah akan ditamatkan mengikut jadual esok.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia susulan pengesahan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bahawa baki kes aktif di daerah tersebut menunjukkan penurunan.

Pada masa sama, beliau berkata, semua kluster di daerah tersebut juga adalah terkawal. 

“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju menamatkan PKP di daerah Keningau, Sabah pada 18 April seperti dijadualkan,” katanya dalam kenyataan. 

Baca artikel berkaitan: PKP dilaksanakan di Sandakan sehingga 30 April

Dalam pada itu, Ismail Sabri turut mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di beberapa kawasan di Sarawak, Kelantan dan Sabah. 

Menurut Ismail Sabri, pelaksanaan PKPD itu melibatkan dua lokaliti di Sarawak iaitu Kampung Tengah, Betong dan Taman Mesra Bako, Kuching di samping satu di Kelantan iaitu di Sekolah Menengah Sains Machang. 

Beliau berkata, pelaksanaan PKPD di Sabah pula melibatkan beberapa lokasi iaitu di Sekolah Menengah Agama Kota Kinabalu; tiga lokaliti iaitu Kampung Bikang, Kampung Kadumu dan Taman Khazanah Indah di Tawau serta tiga lagi taman perumahan yang juga terletak di Tawau. 

PKPD di kesemua kawasan itu kata Ismail Sabri akan berlangsung selama dua minggu mulai 18 April hingga 1 Mei depan. 

Baca berita berkaitan: Beberapa kawasan di Bentong, Tawau dan Kota Bharu dikena PKPD

Kata Ismail Sabri, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan telah berlaku penularan jangkitan Covid-19 dengan kadar kebolehjangkitan tinggi di kesemua lokaliti terbabit. 

“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di semua lokaliti tersebut bermula 18 April hingga 1 Mei. 

“Pelaksanaan PKPD ini untuk memastikan pergerakan penduduk di lokaliti berkenaan dapat dikawal bagi mengelakkan penularan jangkitan Covid-19 ke komuniti luar,” jelas beliau. 

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram