geng plastik hitam pupus

Firman Allah Taala dalam surah Asy-Syu’ara, ayat 219, “Dialah yang melihatmu ketika engkau berdiri dan juga gerak tubuhmu di antara orang-orang yang bersujud.”

Firmannya lagi dalam surah Al-Fajar, ayat 14, “Sesungguhnya Tuhanmu tetap mengawas dan membalas, (terutama balasan akhirat).”

Di dalam sebuah hadis, apabila Jibril bertanya kepada Nabi Muhammad tentang Islam, maka Rasulullah menjawab dengan rukun Islam, apabila ditanya tentang iman, maka dijawab dengan rukun Iman, dan apabila ditanya tentang ihsan, Rasulullah menjawab,

Iaitu hendaklah engkau menyembah kepada Allah seolah-olah engkau dapat melihat-Nya, tetapi jikalau seolah-olah tidak dapat melihat-Nya, maka sesungguhnya Allah itu dapat melihatmu.” – HR Muslim

Berdasarkan hadis tersebut menjelaskan, muraqabah merupakan sebuah rasa dalam hati seseorang bahawa dirinya sentiasa diawasi oleh Allah dan dirasakan tiada satu pun gerakan mahupun tindakannya serta apa yang difikirkannya terlepas dari pemerhatian dan pengetahuan Allah.

Muraqabah merupakan buah amaliah Islam. Seseorang yang dapat melihat Allah dalam setiap amalannya dikatakan telah mencapai maqam muraqabah yang paling tinggi.

Manakala maqam muraqabah yang paling rendah ialah perasaan malu apabila berbuat dosa dan kesalahan seolah-olah dilihat oleh seseorang yang disegani seperti ahli keluarga, rakan-rakan dan masyarakat.

Muraqabah itu juga boleh diumpamakan seperti CCTV

Muraqabah itu juga boleh diumpamakan seperti CCTV yang sentiasa memantau dan memerhati setiap tindak tanduk yang kita lakukan.

Zaman ini yang dikatakan pasca modenisasi adalah zaman di mana segala informasi tersebar dengan cepat seolah-olah dunia ini sangat dekat. Sebenarnya setiap orang dikawal dengan iman yang ada dalam diri.

Tetapi bagi orang-orang yang tidak kuat dan lemah dari segi imannya, keadaan sekeliling boleh menjadi penyakit kepada diri sendiri.

Apabila seseorang tidak dapat mengawal keadaan dan kemajuan selaras dengan mengutamakan Allah, ini akan menimbulkan pelbagai masalah dan lahirlah istilah rasa kebal akhirnya menjadi bebal.

Sebagai manusia yang dikurniakan akal, seharusnya menjadikan teknologi sebagai cara mendekatkan diri kepada Allah. Kita harus tanam dalam diri masing-masing dan generasi muda agar jangan mudah terpengaruh dengan kehebatan manusia, kerana kita sebenarnya melihat apa yang tak terlihat.

Apa yang tidak terlihat itu ialah kekuasaan Allah. Hukum-hukum Allah yang disebut sebagai sunnatullah adalah penuh rahsia. Rahsia-rahsia ini boleh ditemukan oleh manusia dengan penyelidikan dan kajian sehingga melahirkan pelbagai ciptaan dan teknologi terkini. 

Sesungguhnya Islam mengajarkan nilai peradaban yang paling tinggi. Islam adalah agama yang benar dan sempurna. Sekiranya masyarakat Islam dapat memahami nilai peradaban yang sebenar dan dapat mengamalkan sifat muraqabah, maka Islam dapat diangkat dan dijulang ke kedudukannya yang sebenar. 

Umat Islam perlu ada sifat muraqabah dalam diri

Kenapa perlu sifat muraqabah?

Manusia ada kebebasan untuk memilih dan dalam erti kata lain, manusia ada hawa nafsu. Oleh itu, sifat muraqabah diperlukan agar hawa nafsu terdidik.

Muraqabah juga diibarat seperti undang-undang yang dipantau dan diadili oleh Allah S.W.T. Sekiranya manusia tidak merasa dirinya dipantau, maka manusia akan melakukan perkara-perkara yang diharamkan Allah  S.W.T.

Dengan memiliki sifat muraqabah, seseorang akan diberikan fadilat seperti sentiasa ingin melakukan kebaikan. Seseorang itu juga akan sentiasa merasa dirinya bersama Allah serta jiwanya akan merasa aman dan tenteram.

Apatah lagi dalam bulan Ramadan yang penuh kemuliaan ini, tiadalah juga geng-geng plastik hitam bermaharajalela. Mereka pupus disebabkan berasa takut diperhatikan Allah.

Oleh itu, ambillah kesempatan untuk melatih dan didiklah diri untuk merasakan sifat muraqabah supaya selepas Ramadan kita tetap istiqomah untuk berbuat kebaikan dan meninggalkan perbuatan buruk.

Itu kerana seorang manusia yang bersifat muraqabah akan diredhai Allah dan dirinya terdorong untuk terhindar dari melakukan maksiat kerana takut kepada Allah. Wallahu a’lam.

Artikel Berkaitan: Guna hasil perjudian untuk berhari-raya boleh atau tidak ini penjelasannya , 4 amalan utama bagi wanita berhaid agar beroleh pahala ramadan

_____________________________

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram