KAMI berlima baru selesai mengerjakan Tawaf Wida’ iaitu tawaf selamat tinggal. Jadi sebelum balik ke hotel, saya ajak rakan-rakan berkumpul di hadapan pintu Kaabah yang mulia itu. Saya beritahu rakan-rakan, alangkah baiknya sebelum pulang ke tanah air kita bertaubat nasuha di atas segala dosa yang telah dilakukan dulu.
Kata saya, marilah kita bersihkan diri sebab kalau nak bertaubat dan berdoa, di sisi Kaabahlah tempat yang paling mujarab. Alhamdulillah,semua rakan bersetuju dan meminta saya memulakannya.
Lalu saya buka beg sandang dan keluarkan senaskhah al-Quran yang dibeli dari sebuah bazar. Saya julang naskhah itu dan junjung di atas kepala. Empat orang rakan bersama-sama mengangkat tangan memegang kitab suci itu.
Saya berdoa: “Ya Allah, kami bersumpah atas nama-Mu ya Allah, kami sekali-kali tidak akan berjudi, berzina, minum arak dan bertenung nasib lagi. Ampunilah dosa-dosa besar kami yang telah lalu. Kami tahu kami banyak dosa. Kami jahil ya Allah! Kami tidak tahu menilai mana yang baik dan mana yang keji.
“Ya Allah kami mengaku kami pernah berzina, kami minum arak dan berjudi serta bertenung nasib. Kami telah menzalimi diri kami. Kami juga banyak membuat maksiat dan segala macam kekejian. Tapi ya Allah, pada hari ini kami datang ke rumah-Mu untuk bertaubat.
“Ya Allah, kami memohon agar kami dimasukkan ke dalam golongan orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Jika Engkau tidak mengampuni dosa-dosa kami itu, kami termasuk dalam kalangan orang yang rugi.”

Selesai mengangkat sumpah, saya peluk rakan-rakan, Zahir kemudian Hadi, Affendi dan Farouk. Air mata saya bercucuran sebaik habis membaca doa dan lafaz sumpah itu. Baju saya juga turut dibasahi air mata.
Saya benar-benar berasa puas dapat berdoa dan bertaubat di sisi Kaabah. Kepala dan dada saya terasa begitu lapang dan kosong. Tubuh saya terasa ringan seperti terawang-awangan di angkasa. Saya dakap al-Quran ke dada. Begitu juga dengan empat rakan karib saya yang lain, semuanya menangis teresak-esak. Sedih mengenangkan dosa yang pernah kami buat dan gembira kerana telah melakukan sumpah tidak akan mengulanginya lagi.
Mulai saat ini, harbersama detik tengah malam dengan disaksikan Kaabah yang mulia, kami bersumpah dengan al-Quran yang dijunjung, nama Allah yang Maha Agung, rasul yang dikasihi bahawa kami tidak akan mengulangi lagi dosa-dosa besar yang telah dilakukan dulu.
“Alhamdulillah!” kata saya. “Janganlah kita buat lagi dosa-dosa besar tu! Allah jadi saksi kita! Al-Quran dan Kaabah juga jadi saksi sumpah kita ini,” beritahu saya. Zahir, Hadi, Affendi dan Farouk mengangguk.

Saya kemudian sembahyang sunat taubat bersama rakan-rakan kecuali Farouk. Saya tidak kisah sangat tentang Farouk sebab Farouk juga kerap tinggal sembahyang fardu apalagi sunat walaupun melakukan ibadat haji dengan sempurna rukunnya.
Selesai solat, saya berdoa mudah-mudahan Allah ampuni segala dosa kami semua. Saya juga doakan kesejahteraan rakan-rakan. Mereka menganggap saya sebagai imam kerana saya boleh mengaji al-Quran dan bersekolah menengah agama sebelum menuntut di universiti dulu.
Antara kami berlima, Farouk dianggap raja judi. Kami selalu mengikutnya berjudi, minum arak, masuk pub dan kelab dangdut, selepas itu bawa GRO ke hotel untuk puaskan nafsu gila. Tidak terhitung rasanya dosa-dosa dulu.
Semasa berjudi, bukan sedikit wang yang kami taruhkan. Sampai ke angka ribu. Begitu juga minum arak. Sehingga mabuk-mabuk.
Saya akui hidup kami memang jahil sejahil-jahilnya. Tikar sembahyang hanya kenal sekali-sekala apabila hari Jumaat atau Hari Raya. Hanya setelah pencen barulah saya berhenti semua maksiat itu. Begitu juga dengan rakan-rakan, berhenti sedikit demi sedikit setelah uban memutih di kepala dan bersara.
Alhamdulillah, niat suci ingin mengerjakan ibadat haji bersama rakan-rakan karib akhirnya termakbul. Dan paling menarik diakhiri dengan taubat, ikrar serta sumpah janji tidak akan melakukan dosa-dosa besar lagi.
Selepas habis musim haji tahun 2003 itu, semua jemaah termasuk saya dan rombongan bersiap-siap berlepas pulang ke tanah air. Namun sebelum balik, Farouk tiba-tiba bertanya kepada saya: “Haji! Kalau kita langgar sumpah kita, apa akibatnya?”
Farouk juga menyoal saya, adakah bersumpah seperti itu boleh dalam Islam. Saya terdiam. Saya berikan jawapan begini: “Farouk… kita bersumpah untuk menguatkan keinginan kita untuk bertaubat. Harap-harap kita tidak ulangi lagi. Tapi kalau engkau langgar sumpah, tanggunglah. Itu urusan engkau dengan Tuhan!”
Belum pun pulang ke tanah air, saya nampak Farouk lain macam, seolah-olah menyesal pula bersumpah depan Kaabah bersama kami. Sebagai kawan, saya harap tiada antara kami yang melanggar ikrar dan sumpah itu. Masing-masing sudah mencapai usia emas. Mudah-mudahan tiadalah lagi yang terlintas hendak mengulangi tabiat lama.
Tapi Farouk? Entahlah…
Balik dari Tanah Suci, kami selalu berjumpa untuk memperbaharui ikrar dan taubat kami kecuali Farouk. Kalau kami memakai kopiah di kepala sebagai tanda keazaman, Farouk tidak. Dia berpakaian rugged, seluar jean, topi koboi, hisap paip, rambut keritingnya dibiar panjang. Farouk pakai kaca mata hitam, macam orang muda.
Saya tanya Farouk: “Mana perginya kopiah, jubah dan serban engkau?”
Farouk hanya tersengih. Dia kata itu bukan pakaian wajib. Islam itu letaknya di hati.
“Salah ke kalau pakai topi koboi ni?” tanya Farouk sambil ketawa.
Setelah itu Farouk bertanya pula satu soalan yang sukar untuk saya jawab; “Boleh tak kalau aku main judi balik? Tak ada apa-apa akibat ke?”
Tentulah saya kata tak boleh. Judi itu haram. Lagipun kita baru balik dari Mekah.
“Ginilah Haji Farouk,” kata saya separuh melawak. “Tak boleh dah kita patah belakang. Kita dah bertaubat, junjung al-Quran dah bersumpah depan Kaabah takkan nak buat benda tak baik tu lagi!”
Farouk tersenyum dan berkata: “Tak boleh nak tinggallah Haji Shuib! Haji bukan tak tahu, judi tu hobi saya!”
Farouk memberitahu saya, dia tidak kisah dah bersumpah dan bertaubat di Mekah sekali pun, dia tetap hendak berjudi. Dia tidak boleh tinggal tiga benda; perempuan, arak dan judi.
“Kalau ada tiga benda ni, barulah hidup aku ceria,” kata Farouk.

Farouk memberitahu, orang-orang kaya memang amal tiga cara hidup itu. Dia memberi contoh kawan-kawannya yang berpangkat Datuk dan ahli perniagaan yang berjaya semuanya amal tiga benda tu.
Saya hanya diam. Saya tidak bersetuju dengan falsafahnya itu sebab ramai lagi orang kaya tidak berjudi, minum arak dan perempuan. Saya bagi contoh nama-nama yang hebat tetapi warak dan berjaya dalam bisnes.
Tapi Farouk tidak mahu mendengarnya. Dia cuma mahu mencontohi orang kaya yang buruk perangainya. Paling saya tak seronok bila dapat tahu Farouk kembali semula ke dunia lamanya seperti sebelum ke Mekah. Farouk mula minum arak, main perempuan, berjudi dan ikut bomoh menurun nombor.
Farouk kerap ke Thailand dengan kawan-kawannya konvoi naik motosikal besar. Saya geleng kepala. Sedih bila kawan-kawan beritahu Farouk pergi sampai ke Hatyai dan Bangkok. Farouk juga mengaku sudah berjudi, minum arak dan berzina dengan pelacur di sana.

Bila terserempak dengannya, saya nasihatkan Farouk supaya jangan seronok sangat. Mungkin Tuhan nak uji saja. Allah bagi kesihatan, kesenangan dan kemewahan pada seseorang itu hanyalah sementara. Kalau tidak bersyukur, tunggulah balasan Allah.
Malangnya Farouk ketawakan saja nasihat saya itu. “Nanti aku berhentilah,” jawabnya endah tak endah.
Saya masih mengharap Farouk berpatah balik ke pangkal jalan, sama-sama ke masjid setiap petang dan malam, bertadarus, baca al-Quran ramai-ramai. Tapi Farouk beritahu saya: “Jangan risaulah, nanti boleh taubat. Boleh pergi haji lagi tahun depan!”
Kalau sempat taubat, kalau tak? Farouk tersenyum. Farouk kata mesti sempat sebab tubuh dia masih sihat. Boleh makan dua tiga pinggan nasi, tak ada penyakit kronik. Tak ada kencing manis, darah tinggi dan sakit jantung.
Sejak balik dari Mekah, Farouk memberitahu dia tidak pernah lagi kalah berjudi. Main nombor menang, main lumba kuda menang. Main pakau menang juga. Pernah Farouk memberitahu dia baru menang RM100,000. Saya tahu memang Farouk handal main judi. Sebab itu kami beri gelaran Raja Judi atau King Casino!
“Marilah main balik, Ji!” Farouk mengajak.
Saya diam. Saya tak terliur lagi. Yang sudah tu, sudahlah.
Farouk senyum. Dia memberitahu, hasil judi yang dimenangi sejak balik dari Mekah berjumlah lebih RM300,000. Semua disimpan di bank. Saya kata kalau dah banyak sangat duit tu, cukuplah. Nak buat apa lagi simpan banyak-banyak, nanti kalau dah mati bukan duit boleh tolong kita.
Farouk geleng kepala. Kata Farouk, berjudi itu sudah jadi hobinya. Duit bukan untuk dimakan tetapi untuk membeli benda-benda lain seperti kereta, tanah dan sebagai pelaburan hari tua.
Langkah Farouk makin jauh, dia berkawan dengan tauke judi. Tauke itu selalu membawanya ke kelab malam. Bila balik Farouk asyik bercerita perkara-perkara yang mengaibkan. Saya malu mendengarnya. Farouk sudah ada anak dara. Isterinya bukan main baik, warak, tudung litup dan masih cantik. Tapi suami bukan main teruk lagi.
Farouk makin hilang pedoman bila tauke-tauke judi bagi hamper dan angpau bila Hari Raya. Apabila melihat keadaannya makin lama makin sosial, saya dapat membayangkan keseronokan dalam dunianya itu. Kalau sudah berusia penghujung 50-an masih tidak bertaubat, susahlah.
Hampir enam bulan selepas dia melakukan maksiat, suatu hari saya dapat berita Farouk sakit mental. Lekas-lekas saya datang ke rumahnya. Saya terkejut melihat badannya yang susut. Tubuhnya menggeletar.
Ditanya macam mana suaminya boleh tiba-tiba jadi gila, isteri Farouk menjelaskan, “Mula-mula bila balik aja rumah, dia mengadu badan panas. Fikiran risau. Macam ada benda yang tak kena, tapi dia tak tau apa. Runsing aja.”
Daripada badan panas tanpa sebab, Farouk tiba-tiba bercakap merapu dan terjerit-jerit. Akhirnya dia terus tidak siuman. Makin hari makin teruk. Kadangkala dia terjerit terpekik seorang diri.
Keadaan sahabat saya itu semakin tenat. Dia bukan sekadar tanggalkan baju tetapi merayau-rayau berjalan kaki ayam keliling taman perumahan. Banyak kali saya terserempak dengan Farouk tapi dia tidak kenal saya lagi.

Melihat keadaannya itu air mata saya menitis. Sedih betul rasanya. Begitu cepat Allah menarik segala kurniaan dari seorang hamba-Nya. Dalam sekelip mata saja Farouk menjadi gila.
Kira-kira seminggu selepas tidak siuman, Farouk meninggal dunia. Dia dikebumikan di tanah perkuburan Islam berdekatan. Hilanglah seorang kawan baik saya.
Melihat jasadnya dimasukkan ke dalam pusara, saya teringat kembali kata-kata Farouk selepas kami bersumpah depan Kaabah. “Apa akibatnya kalau langgar sumpah?” Mungkin inilah ‘akibat’ yang disoalnya dulu… jadi gila dan kemudian meninggal dalam keadaan mengaibkan.

NOTA: Pencerita di atas hanya mahu dikenali sebagai Haji Shuib, sahabat baik Farouk dan tinggal di utara tanah air. – Pengarang.

