BAGI mengekang penularan COVID-19, pergerakan rentas negeri kini hanya dibenarkan dari hari Isnin hingga Khamis sahaja.
Bagaimanapun menurut kenyataan Polis Diraja Malaysia (PDRM) malam ini, arahan terbaru itu tidak termasuk bagi urusan kecemasan, kematian dan pasangan jarak jauh.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, langkah mengetatkan pergerakan rentas negeri berikutan peningkatan kes baharu COVID-19 di negara ini.
“Pergerakan rentas negeri hanya dibenarkan bagi tujuan pekerjaan, kecemasan dan kematian (hanya melibatkan ahli keluarga terdekat iaitu ibu bapa, anak dan adik-beradik sahaja), perubatan, pendidikan serta pasangan jarak jauh.
“Sekiranya permohonan pergerakan diluluskan, ia hanya dibenarkan pada Isnin hingga Khamis sahaja, manakala pergerakan pada hujung minggu iaitu Jumaat hingga Ahad tidak akan diluluskan.
“Ini tidak termasuk bagi urusan kecemasan, kematian dan pasangan jarak jauh (dibenar hujung minggu),” katanya.
Baca artikel berkaitan: KKM cadang rentas negeri sambut Aidilfitri ditangguhkan
Menurut Acryl Sani, pergerakan rentas negeri bagi tujuan sosial seperti menghadiri kenduri perkahwinan atau apa-apa majlis dan jamuan adalah dilarang.
Katanya, ia akan berkuat kuasa sehingga selepas Hari Raya Aidilfitri dan mana-mana pihak yang ingkar akan dikenakan tindakan tegas.
Berhubung ketidakpatuhan prosedur operasi standard (SOP) di bazar Ramadan dan pasar malam, Acryl Sani berkata, semua ketua polis daerah dan pasukan pemantau pematuhan SOP akan digerakkan ke semua lokasi berkenaan.
“Sekiranya didapati SOP tidak dipatuhi, PDRM akan mengemukakan saranan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) agar aktiviti perniagaan di kawasan itu dihentikan,” katanya.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

