MESYUARAT Teknikal Majlis Keselamatan Negara (MKN) hari ini bersetuju melanjutkan waktu operasi bazar Aidilfitri sehingga jam 2 pagi.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perubahan waktu operasi bazar raya idi seluruh negara tu dibenarkan mulai esok untuk kemudahan semua.
“Kita dapat permintaan daripada penganjur yang bazar Aidilfitri perlu dilanjutkan masa operasinya.
“Ini memandangkan orang kita ramai yang keluar rumah hanya selepas solat sunat tarawih.
“Jadi kalau pukul 12 tengah malam, suntuk sangat. Maka selepas penilaian risiko kita bersetuju membenarkan operasi bazar raya sehingga 2 pagi,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar laporan kawalan prosedur operasi standard (SOP) di ibu negara hari ini.
Dalam sidang akhbar itu, Ismail Sabri dengan tegas mengingatkan orang ramai dan peniaga supaya mematuhi SOP di bazar Ramadan dan bazar Aidilfitri.
Katanya, kealpaan segelintir pihak untuk mematuhi SOP akan menjejaskan ramai peniaga apabila ada bazar terpaksa ditutup akibat pelanggaran SOP.
“Saya nak berterima kasih kepada netizen kerana melaporkan apa yang berlaku di bazar Ramadan. Ini memudahkan tindakan pihak berkuasa.
“Setakat ini sudah ada pun bazar yang ditutup kerana isu SOP. Namun, saya berharap tiada lagi bazar yang ditutup.
“Ini kerana penutupan memberi kesan kepada pengunjung dan peniaga yang patuh. Harapan saya, semua kita membuat lawalan kendiri dan mematuhi SOP,” ujarnya.

