PENINGKATAN ketara kes positif COVID-19 di 25 lokaliti dalam daerah Raub, Pahang telah membuatkan kesemua 23 lokaliti itu dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selama dua minggu.
Menurut Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, kesemua 23 lokaliti berkenaan melibatkan 16 lokaliti di Sungai Ruan dan baki tujuh lokaliti di Sempalit dalam daerah Raub.
Kata Ismail Sabri, 16 lokaliti di Sungai Ruan termasuk Taman Dahlia, Taman KSM Sungai Ruan, Taman Bunga Raya, Raman Sungai Ruan, Taman Cempaka dan Taman Bunga Matahari.
Selain itu, Taman Koperasi Mewah, Taman Melewar, Taman Mawar, Taman Mawar Impian dan Taman Bunga Tanjung turut diletakkan di bawah PKPD.
Jelas beliau, PKPD turut dilaksanakan di Taman Bunga Angsana, Taman Melor, Taman Orkid, Rumah Murah Sungai Ruan dan Kg. Baru Sungai Ruan.
Dalam pada itu, tujuh lokaliti di kawasan Sempalit yang dikenakan PKPD adalah di Kg. Baru Sempalit, Taman Sempalit Indah, Taman Sempalit Baru, Taman Sempalit Aman, Taman Sempalit Jaya, Taman Emas dan Taman Emas Baru.
Baca artikel berkaitan: Selepas Selangor, giliran Kuala Lumpur pula PKP
Sehingga kini, Ismail Sabri memaklumkan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan terdapat peningkatan ketara kes dalam tempoh dua minggu yang melibatkan lokaliti tersebut dengan 65 kes positif COVID-19 telah direkodkan.
“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di 16 lokaliti di Sungai Ruan dan tujuh lokaliti di Sempalit, Raub bermula 8 sehingga 21 Mei ini.
“Pelaksanaan PKPD ini untuk memudahkan KKM membuat pengesanan awal terhadap kontak rapat dan penduduk yang terlibat untuk mengelakkan penularan COVID-19 ke komuniti luar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, Ismail Sabri turut mengumumkan pelaksanaan PKPD di Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) Bandar Penawar, Kota Tinggi, Johor ekoran peningkatan kes di lokaliti tersebut.
Menurut beliau, sehingga kini, KKM telah melakukan 212 ujian saringan dan daripada jumlah itu, 96 orang daripadanya didapati positif COVID-19.
“KKM mengesahkan berlaku peningkatan kes secara mendadak dalam tempoh satu minggu dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi.
“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di SSTMI bermula 8 Mei sehingga 21 Mei ini,” jelas beliau.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

