PEREKA fesyen yang turut melebarkan bakat dalam dunia nyanyian, Ezuwan Ismail telah memuat naik satu hantaran berbaur sindiran di akaun Instagram miliknya.
Entri tersebut telah menarik perhatian pengikutnya yang mendakwa Ezuwan menyindir ahli perniagaan, Datuk Seri Aliff Syukri yang baharu sahaja tampil dengan lagu raya berjudul Lala Raya.
Ezuwan ketika dihubungi, tidak menafikan ‘carutan’ tersebut sememangnya ditujukan kepada usahawan kosmetik berkenaan.
“Habis itu siapa lagi kalau bukan dia. Saya malas nak letak atau menulis namanya…nanti bagi publisiti percuma dekat dia pula.
“Tak payah menyanyi guna ‘auto tune’ sangatlah! Saya tahu tahap keyakinan dia sangat tinggi sampai boleh ‘terpelanting’ penyanyi yang sedia ada.
“Saya pernah dikecam kerana menyanyi tidak cukup bagus. Malah, aktres Rozita Che Wan juga pernah ‘carut’ saya menyanyi seperti tercekik sudu.
“Namun rasanya mutu vokal saya tidaklah seteruk dia…saya siap masuk kelas vokal, pendek kata suara saya lagi bagus berbanding dia.
“Dia banyak mengeluarkan lagu tetapi masih tak ada peningkatan. Lebih baik tak payah menyanyi sebab dah memang tak boleh menyanyi pun. Saya tahu dia banyak duit tapi rasanya cukuplah, lebi baik fokus pada perniagaan dan buatlah perkara viral macam selalu,” ujarnya.
Tambah Ezuwan, dia pernah bertemu dengan Aliff di beberapa majlis tertentu dan tidak menafikan jika mereka mempunyai hubungan baik sebagai rakan.
“Saya mengenalinya dan masing-masing pernah bersua serta bertegur sapa di beberapa acara.
“Tak salah untuk saya menegur. Sampai bila nak biarkan dia berfantasi buat perkara yang tak perlu seperti menyanyi. Iya, dia berduit dan kaya tapi lebih baik laburkan kepada hal yang menguntungkan.
“Saya pun menyanyi berpaksikan ukur baju di badan sendiri. Setakat berangan biasa-biasa itu, adalah. Jauh sekali nak bertanding di Anugerah Juara Lagu sebab saya seorang yang realistik,” tegasnya.
Dalam perkembangan lain, Ezuwan memberitahu, dia terpaksa menunda pelancaran single raya solonya berjudul Lambaian Pagi Syawal atas masalah produksi selain mengambil kira pandemik Covid-19 pada ketika ini.
Lagu hasil ciptaan komposer otai S.Atan dan lirik oleh Siso Kopratasa itu dirakamkan pada 10 Mac yang lalu.

Untuk rekod, Ezuwan merupakan anggota kumpulan E1 Band bersama dua lagi ahlinya iaitu Zulyasrani dan Ariff Imran yang ditubuhkan pada 2019.
“Tahun 2019 kami muncul dengan lagu Semalam Sahaja ciptaan Asfan Shah dan Rindu Lebaran daripada S.Atan.
“Cuma kali ini saya nak cabar diri untuk menyanyi solo. Tetapi atas beberapa masalah produksi dan situasi Covid-19, nampaknya saya kena tunda niat untuk keluarkan lagu raya pada tahun ini.
“Nampaknya memang kena ‘peram’ sampai tahun depan. Lagi pun tahun ini dah banyak lagu raya baharu yang tular dan ‘catchy’ memeriahakn sambutan Aidilfitri pada kali ini,” jelasnya.
Dek keterujaannya yang mahu mengeluarkan single raya, Ezuwan sanggup menurunkan berat badan demi mahu tampil selesa apabila mempromosikan karya terbaharunya.
Namun, dia hanya mampu merancang dan Tuhan yang menentukan, usahanya itu menurunkan berat badan berhasil tetapi belum diberikan rezeki untuk memperdengarkan single raya kepada semua.
“Berat saya daripada 83 kilogram (kg) kini turun ke 73 kg. Saya berjaya turunkan 10 kilogram dalam masa sebulan. Saya juga bersenam dengan jurulatih kecergasan selain menjaga pemakanan.
“Tapi tak ada rezeki keluar lagu raya pada tahun ini. Tak mengapalah…mungkin Syawal nanti saya akan makan apa sahaja juadah raya tanpa perlu risau tampil cantik…nanti-nanti boleh diet lagi,” selorohnya.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

