SEORANG wanita merupakan dua suspek yang ditahan bersabit kejadian samun bersenjatakan pisau hingga mencederakan seorang pemandu e-hailing di Terminal Bas Tun Sri Lanang, Kota Tinggi, awal pagi kelmarin.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman memaklumkan pihaknya telah menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 2.46 pagi, Selasa lalu.
Menurut beliau, ia berhubung kejadian samun bersenjatakan sebilah pisau hingga menyebabkan kecederaan ke atas seorang pemandu e-hailing berusia 30-an.
Bagaimanapun, kata beliau, mangsa tidak mengalami sebarang kerugian dalam kejadian itu.
“Bertindak atas maklumat, sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi telah berjaya menangkap seorang wanita warga tempatan berusia 20-an di sekitar kawasan Terminal Bas Tun Sri Lanang kira-kira pukul 11 pagi.
“Susulan tangkapan tersebut, sepasukan polis berjaya menahan seorang lagi suspek iaitu lelaki warga tempatan berusia 20-an.
“Suspek ditahan di sekitar kawasan Dataran Larkin, Johor Bahru kira-kira pukul 2.30 petang semalam,” katanya dalam kenyataan.
Mengulas lanjut, Yusof berkata, pihaknya turut merampas senjata yang digunakan semasa kejadian iaitu sebilah pisau.
Beliau berkata, hasil ujian air kencing mendapati kedua-dua suspek negatif dadah tetapi memiliki rekod jenayah lampau.
“Suspek wanita itu telah dibenarkan reman selama lima hari oleh Mahkamah Majistret Kota Tinggi manakala seorang lagi suspek akan dimohon reman hari ini untuk membantu siasatan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 395 dan Seksyen 397 Kanun Keseksaan atas kesalahan samun berkawan dengan senjata,” jelas beliau.

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

