Sekeping foto yang merubah dunia kedoktoran

Dari Penulis

Sekitar 34 tahun satu tahun yang lalu, iaitu pada tahun 1987, ahli bedah Poland, Dr. Zbigniew Religa telah memohon untuk melakukan operasi pemindahan jantung yang dianggap mustahil pada seorang pesakit lelaki bernama Tadeusz ?ytkiewicz.

Berdasarkan rekod perubatan, pesakit berusia 60 tahun itu disahkan mengalami masalah jantung kronik yang tidak dapat disembuhkan, melainkan hanya dengan pemindahan jantung. Tahap kesihatannya semakin merosot menyebabkan pembedahan yang rumit sukar untuk dilakukan.

Atas faktor itu, ramai beranggapan bahawa usaha mulia Dr. Religa tidak akan berjaya. Suara kritikan dan bantahan terus kedengaran. Antara pihak yang paling kuat memprotes ialah pusat ibadat Katolik.

Golongan agama pada masa itu membantah sekeras-kerasnya pembedahan tersebut kerana menganggap ia bertentangan dengan pegangan mereka. Lagi pula, mereka percaya bahawa perbuatan itu sebagai membawa sial dan menghina pesakit.

Sebelum ini, banyak hospital dan sebahagian besar doktor takut untuk melakukan pembedahan berisiko tinggi seumpama itu. Ini kerana, mereka diugut akan kehilangan lesen perubatan jika pembedahan gagal.

Dr. Religa tidak mempedulikan kata-kata orang dan tetap dengan pendiriannya.

Akan tetapi, Dr. Religa sangat berani. Dia tidak mahu mengalah, malah tetap dengan keputusan untuk melakukan pembedahan pemindahan jantung pertama di negaranya.

Walaupun tanpa sebarang sokongan dan sumber dana daripada kerajaan, beliau dan pasukannya nekad mengumpul wang sendiri demi pembiayaan kos operasi tersebut. Mereka juga dilaporkan sanggup berjumpa mafia Poland bagi mendapatkan bantuan kewangan. Hasil sumbangan itu, maka terbinalah Pusat Penyakit Jantung Silesian di Zabrze.

Setelah memperoleh bantuan, Dr. Religa menyegerakan pembedahan ke atas Tadeusz. Pesakit itu dibawa ke bilik bedah yang serba daif. Tiada mesin canggih, yang ada hanyalah peralatan lama yang sudah ketinggalan zaman.

Bagi Dr. Religa, sekiranya mahu merubah keadaan, harus berusaha mencari jalannya. Tidak ada yang mustahil untuk melakukan sesuatu yang dianggap mustahil jika disertai dengan keazaman.

Terbukti, kegigihan dan keberanian doktor ini menghasilkan kejayaan. Selepas 23 jam bertungkus-lumus melakukan pembedahan pemindahan jantung yang sangat mencabar, usaha Dr. Religa akhirnya membuahkan hasil. Segala kerja keras tanpa rehat untuk tempoh yang sangat panjang telah berjaya menyelamatkan nyawa pesakitnya.

Walaupun setelah 23 jam pembedahan jantung berlangsung, Dr. Religa tetap setia duduk di samping pesakitnya. Berjaga-jaga sambil memantau keadaan pesakit yang sedang berjuang untuk terus hidup dengan bantuan mesin pernafasan yang sudah uzur.

Manakala, seorang rakannya kelihatan tertidur duduk menyandar di dinding. Lena sekali tanpa mempedulikan lantai bilik bedah yang masih berlumuran dengan kesan darah. Jelas sekali kepenatan selepas terlibat dalam kerja-kerja pembedahan yang terlalu lama.

Aksi spontan doktor ini berjaya dirakam oleh jurugambar Amerika, James Lee Stanfilnt. Selang beberapa tahun, gambar tersebut tersebar dan menarik perhatian dunia.

Gambar ini telah membuka mata banyak pihak dalam bidang perubatan dan merubah dunia kedoktoran. Foto ini dipilih sebagai Picture Of The Year.

Sekeping gambar menunjukkan Dr. Religa sedang duduk di kerusi sambil memantau tanda-tanda vital pesakitnya selepas menjalani pembedahan pemindahan jantung selama 23 jam. Di sudut kanan gambar, kelihatan salah seorang rakannya tertidur bersandar di dinding akibat keletihan. Foto ini menjadi terkenal di dunia, malah telah dipilih sebagai ‘Picture of The Year’ oleh National Geographic.

Istimewanya tentang gambar ini, ia bukan sahaja menyampaikan beribu mesej positif, di sebalik kegigihan dan keberanian, tetapi juga menyimpan kisah kejayaan yang membanggakan. Ini kerana selang sehari selepas gambar itu dirakamkan, pesakit tersebut telah sedarkan diri dan merasa lebih sihat berbanding sebelumnya.

Dr. Religa berehat di samping pesakitnya selepas pembedahan yang panjang selama 23 jam.

Sejak itu, Dr. Religa dikenali sebagai pakar bedah jantung terkemuka di Poland yang berjaya melakukan pemindahan jantung pertama di negaranya.

Selepas kejayaan pertama itu, pada bulan Jun 1995, beliau sekali lagi menggemparkan dunia perubatan apabila menjadi pakar bedah pertama mencungkil injap buatan daripada mayat manusia.

Doktor berkemahiran tinggi ini merupakan bekas penuntut di Universiti Perubatan Warsaw. Selepas menamatkan pengajiannya pada tahun 1963, beliau berpindah ke New York City untuk mendalami ilmu pembedahan vaskular. Dua tahun kemudian, iaitu pada tahun 1975, beliau memulakan kerjanya sebagai doktor bedah jantung di Detroit.

Selain menjadi doktor bedah yang luar biasa, Dr. Religa juga berjaya dalam dunia politik. Berdasarkan rekod, beliau pernah menjadi ahli senat Poland pada tahun 1993.

Dr. Religa.

Atas kecemerlangannya, dia sekali dipilih memegang jawatan itu pada tahun 2001. Empat tahun selepas itu, beliau menjadi calon presiden dalam pilihan raya Poland. Walaupun tewas, beliau tetap dipilih menjadi Menteri Kesihatan mulai dari tahun 2005 hingga 2007.

Pada 8 Mac 2009, pakar perubatan ini disahkan meninggal dunia akibat menderita kanser paru-paru, disebabkan kerana terlalu banyak merokok. Walaupun sebagai doktor dia tahu akan bahaya merokok, tetapi beliau tetap menjadi penghisap rokok tegar.

Meskipun Dr. Religa sudah meninggal dunia, pesakitnya yang menjalani pembedahan pemindahan jantung itu iaitu Tadeusz masih hidup. Tadeusz dan jurugambar Stanfilnt turut hadis di majlis pengebumian Dr. Religa.

Tadeusz, pesakit yang bertahan hidup selepas dibedah Dr.Religa.

Tadeusz meninggal dunia pada tahun 2017, menikmati hidup selama 30 tahun selepas pembedahannya berjaya hasil usaha Dr. Religa. Malah, Tadeusz menjadi pesakit yang paling lama bertahan hidup setelah menjalani pembedahan pemindahan jantung.

Kisah Dr. Religa ini turut diadaptasi ke layar perak melalui filem Poland berjudul Gods (Bogowie) yang disiarkan pada tahun 2014.

Filem Gods atau Bogowie yang diinspirasikan dari kisah Dr. Religa.

__________

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Bila nasihat tidak dihiraukan… Ayah sanggup tanam patung di kubur demi anak

“Aku cuma nak anak aku balik…” Itu luahan seorang ayah yang akhirnya menyesal seumur hidup selepas memilih jalan salah demi...

More Articles Like This