SEKEPING gambar hitam putih ini memaparkan gelagat 11 orang buruh binaan yang sedang menikmati hidangan tengah hari di atas rasuk besi pada paras ketinggian 256 meter. Foto  bertajuk ‘Lunch atop a Skyscraper’ ini telah dipotret sekumpulan lelaki pada September 1932.

Tanpa mengenakan sebarang alat keselamatan, mereka bergambar sambil makan dengan kaki yang berjuntaian ke bawah.

Gambar ini telah diambil ketika fasa-fasa terakhir pembinaan bangunan RCA di Rockefeller Center, New York, Amerika Syarikat (gedung RCA telah ditukar nama kepada bangunan General Electric yang merupakan ibu pejabat stesen televisyen NBC).

Bangunan berketinggian 70 tingkat itu juga merupakan salah satu mercu tanda kota New York, yang mana ia terletak di tengah-tengah segi tiga emas Rockefeller Center – sebuah kawasan elit yang mempunyai nilai hartanah antara yang tertinggi di dunia.

Gambar berusia sembilan dekad ini sebenarnya merupakan antara potret ikonik yang terkenal pada abad ke-20. Ia pernah disiarkan oleh akhbar tabloid New York Herald Tribune pada bulan Oktober tahun yang sama ia diambil. Namun, gambar tersebut disiarkan secara tunggal tanpa sebarang keterangan yang dipaparkan mengenainya.

Gambar ikonik sekumpulan lelaki menikmati makan tengah hari di ketinggian 256 meter yang menjadi tanya sejak sekian lama.

Selama lebih 80 tahun potret ini tersebar ke seluruh pelosok dunia, tetapi hingga ke hari ini, ia masih diselubungi fakta yang masih kabur mengenai identiti 11 orang lelaki buruh binaan di dalam potret tersebut yang masih belum terungkai sepenuhnya. Malah, jurugambar yang merakamkan gambar ini juga masih belum dapat dipastikan dengan jelas.

Banyak pihak mengaitkan foto ini dengan jurugambar dari Ireland, Charles C. Ebbets kerana beliau gemar mengambil gambar-gambar ekstrem dari tempat tinggi. Namun, fakta tersebut tidak dapat disahkan.

Dalam masa yang sama, ada juga individu yang mengatakan potret ini telah diambil oleh jurufoto kelahiran Amerika Syarikat, Lewis Hine.

Charles C. Ebbets, jurugambar yang gemar mengambil gambar dari tempat tinggi.

Sekalipun tidak pernah memenangi sebarang anugerah khas, namun foto ini mempunyai nilai sentimental yang begitu tinggi kepada warga Amerika.

Ini kerana, foto tersebut menceritakan tentang kehidupan, sejarah dan kewujudan sebuah negara bangsa di negara Uncle Sam itu. Bahkan, landskap kemajuan kota metropolitan New York yang dapat dilihat pada hari ini juga merupakan sentuhan kerja tangan individu-individu yang berada di dalam gambar berkenaan.

Pada ketika gambar tersebut dirakamkan, ekonomi dunia sedang merudum teruk. Mata wang dolar dan negara-negara Eropah jatuh ke tahap yang paling rendah. Inflasi meningkat mendadak. Kemelesetan ekonomi pada ketika itu telah menyebabkan warga Amerika dan sekitar Eropah telah dibuang kerja.

Kaum-kaum pemodal telah berusaha untuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi serantau dengan membina gedung-gedung tinggi di sekitar New York.

Pembinaan gedung-gedung pencakar langit ini sedikit sebanyak telah meningkatkan pelaburan, dan dalam masa yang sama membuka sedikit ruang pekerjaan kepada warga yang menganggur.

Inilah situasi sebenar yang tergambar di dalam potret tersebut. Disebabkan kemelesetan ekonomi yang begitu teruk, warga Amerika dan sekitar yang memerlukan pendapatan tetap sanggup melakukan apa sahaja kerja termasuk menjadi buruh binaan.

Faktor keselamatan sudah tidak penting lagi. Mereka sanggup bekerja di tempat yang tinggi tanpa menghiraukan risikonya. Apa yang lebih penting ialah sumber kewangan supaya ahli keluarga tidak kebuluran.

Keselamatan dan risiko tidak penting selagi mereka boleh mendapat pekerjaan.

Walaupun tanpa sistem keselamatan yang kukuh, pekerjaan sebagai buruh binaan mendapat permintaan yang tinggi ketika itu. Sekalipun kadar kematian di tapak-tapak pembinaan dilaporkan meningkat, tetapi ia langsung tidak mematahkan semangat warga buruh untuk terus bekerja. Dianggarkan, statistik kematian pada ketika itu ialah nisbah satu kematian bagi setiap sepuluh tingkat bangunan.

Dalam masa yang sama, peluang pekerjaan terbuka itu turut menjemput warga-warga negara sekitar untuk berhijrah ke Amerika. Kaum-kaum lelaki dari Eropah seperti Ireland, Slovakia dan Sweden yang turut merasai kegawatan ekonomi serantau turut berhijrah ke Amerika untuk mencari rezeki.

Justeru, migrasi secara besar-besaran telah berlaku kerana kepesatan ekonomi yang wujud di Amerika. Antara tempat utama yang menjadi tumpuan imigran ialah bandar-bandar besar seperti California, New York, New Jersey, Texas, Florida, dan Illinois.

Hanya 4 Yang Dikenal Pasti


MENJELANG awal abad ke-21, sedikit demi sedikit misteri yang menyelubungi potret tersebut mulai terungkai. Seorang pembuat filem pendek dari Ireland, Sean O’ Cualin dan sahabatnya Ken Johnston telah melakukan kajian dan mencari siapakah sebenarnya 11 orang lelaki di dalam potret itu yang masih menjadi misteri.

Bermula di Amerika, O’Cualin dan Johnston mula mencari bukti atau waris yang boleh dikaitkan dengan gambar tersebut. Mereka turut mencari sumber di Ireland dan bertemu beberapa individu yang dipercayai waris kepada lelaki-lelaki di dalam potret tersebut.

Namun, setelah hampir setahun kajian mengenainya dilakukan, O’Cualin dan Johnston masih belum mampu merungkainya secara menyeluruh. Hanya sebahagian sahaja daripada lelaki-lelaki yang bekerja sebagai buruh binaan di dalam gambar itu berjaya dikenal pasti.

Empat dari kiri adalah Michael Breheny yang merupakan penduduk asal Amerika. Di sebelah kanannya pula dikenal pasti sebagai Albin Svensson, manakala lelaki keenam dari kiri dengan rokok di mulut ialah seorang imigran dari Ireland, John Johansson Backagard.

Lelaki terakhir di sebelah kanan yang memegang botol wiski mempunyai banyak pertikaian. Seorang wanita berketurunan Sweden menyatakan kepada O’Cualin bahawa lelaki tersebut adalah bapanya yang bernama John Paul Nathaniel Bjorndahl. Sementara ada juga individu lain yang mendakwa lelaki tersebut merupakan pendatang dari Ireland bernama Pat Glynn.

Namun, setakat ini bukti yang paling kukuh menunjukkan lelaki yang memegang botol wiski itu berkemungkinan besar berasal dari timur Slovakia. Ia berdasarkan kepada sekeping poskad yang dihantar pada tahun 1932 oleh lelaki bernama Gusto Popovic kepada isterinya di Slovakia. Kata-kata di dalam poskad itu berbunyi, ‘Jangan bimbang Mariska kesayanganku, seperti yang kamu lihat saya sentiasa okey dengan botol saya’ – Gusto Popovic.

Hanya empat lelaki dalam gambar ini yang berjaya dikenal pasti. Identiti yang lain masih kekal misteri.

_______

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.comFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare