Syaitan? Atau qarin? Atau itu hanya ilusi semata?

Ada yang mengatakan kononnya jika seseorang itu meninggal dunia dalam keadaan tragis, rohnya tidak aman. Ia akan menjelma di tempat kematiannya atau di kediamannya dan memperlihatkan dirinya kepada orang tertentu, kerana enggan pergi meninggalkan alam nyata ini.

Benarkah begitu?

Di bawah ini Mastika bawakan sebuah kisah yang dialami oleh Raja Kalsom Raja Ibrahim, 75, di Kampung Tempoyak, Kedai Lalat, Kelantan pada pertengahan 1997.

SENJA ITU…

Azan Maghrib baru saja dilaungkan dan Kalsom melangkah turun ke bilik air rumahnya. Kepala paip dibuka, Kalsom membasuh telapak tangannya dengan sabun bagi membuang sisa-sisa minyak dan kotoran yang boleh menghalang wuduknya mencecah kulit.

Dia mencucinya berkali-kali sehingga pasti tangannya  benar-benar bersih, tidak lagi berbau darah yang melekat sejak pagi tadi.

Air ditakung dalam telapak tangannya lalu Kalsom berkumur pula. Namun ketika hendak membasuh muka, ekor matanya melihat ada sesuatu berwarna putih tidak jauh darinya. Dia pantas menoleh…

“Ya Allaaaahhhh… Sakinah?!” Kalsom ingin menjerit, namun suara itu tersekat di kerongkong. 

Tubuh Kalsom menggeletar kerana Sakinah berdiri hanya dua meter darinya. Sakinah berpakaian serba putih tetapi mukanya…!

“Pergi! Pergi, jangan kacau aku!” Kalsom menjerit. Tapi suaranya masih terbantut di kerongkong. Sakinah tidak berganjak walaupun seinci. Mukanya tepat menghadap ke arah Kalsom.

Kalsom terpaku, seolah-olah tidak percaya dengan apa yang dilihatnya kerana baru pagi tadi dia dan sepupunya, Raja Sharifah Raja Hussin menguruskan jenazah Sakinah. Tidak dapat digambarkan ngerinya keadaan mayat Sakinah yang meninggal dunia akibat dilanggar lori minyak ketika melintas jalan untuk ke rumah cucunya di Pasir Puteh.

Sepanjang menjadi pengurus jenazah, belum pernah Kalsom melihat mayat yang sengeri itu. Hampir keseluruhan tubuh Sakinah hancur diseret sejauh beberapa puluh meter menyebabkan cebisan daging bertaburan. Otaknya juga terpercik di atas jalan.

Waktu memandikan jenazah yang sudah berbau itu, Kalsom dan Sharifah terpaksa memakai topeng. Mayat dibaringkan atas sehelai kain putih kerana hampir seluruh badannya hancur. Mereka berdualah yang membersihkan kaki Sakinah yang patah riuk, tempurung lututnya tercabut dan urat-uratnya nampak berselirat.

Masih terbayang lagi kengeriannya apabila tangan Kalsom menyentuh tulang dan daging yang telah rompong di sana-sini.

Beberapa kali tekaknya terasa mual semasa mencuci perut Sakinah yang pecah terburai menampakkan lemak serta isinya yang berlendir. Dia dan Sharifah kemudiannya membasuh pula badan dan tangan Sakinah yang renyuk, berderai dagingnya serta tersembul ketulan-ketulan tulang.

Namun itu tidak dapat menandingi kengerian waktu mencuci bahagian kepala Sakinah. Tangan Kalsom menggeletar ketika mencuci sebelah muka Wanita itu yang hancur manakala sebelah matanya terpelanting entah ke mana. Dagingnya berkecai menampakkan tulang muka dan kepala yang hancur remuk.

Kalau diikutkan hati, tidak sanggup rasanya Kalsom melakukan semua itu, tapi demi tugas yang telah diamanahkan, dia teruskan juga. Mereka mengumpul usus, lemak dan cebisan daging dalam sehelai kain batik lepas lalu dicuci dengan sabun.

Kalsom mencelup tangannya dalam timbunan daging itu manakala Sharifah memancurkan airnya. Cebisan-cebisan daging itu digaul-gaul supaya semuanya terkena air. Kemudian dia melalukan pula air pada ketulan otak, seterusnya membasuh satu persatu gumpalan daging yang berkecai itu.

Sambil mencuci, sesekali Kalsom menjeling ke muka jenazah. Serta-merta bulu tengkuknya berdiri sebaik terpandang sebelah muka Sakinah yang hancur berkecai menampakkan ketulan-ketulan tulang yang memutih. Matanya yang tinggal sebelah seolah-olah sedang memandang Kalsom, cukup menggerunkan.

Tetapi…

Tetapi sekarang ini Sakinah yang menggerunkan itu sedang berdiri di hadapannya. Keadaan mukanya sama seperti pagi tadi, cuma bahagian bahu ke bawah ditutupi dengan kain kapan!

“Pergi… jangan kacau aku!” Kalsom menjerit di dalam hati. Tapi Sakinah masih belum mahu berganjak.

Sakinah hanya pergi dan menghilang di celahan dinding bilik air selepas Kalsom membaca ayat-ayat suci al-Quran. Cepat-cepat dia mengambil wuduk lalu masuk ke bilik. Selepas bersolat Kalsom berdoa semoga Allah mengampunkan segala dosa Sakinah dan menempatkan wanita itu di kalangan para solehah.

Keesokannya jiran-jiran Sakinah pula bercerita mereka ternampak wanita itu berjalan keliling rumahnya dengan pakaian serba putih. Sebelah wajahnya hancur. Tempat paling kerap dilihat ialah di bilik jenazah Sakinah dimandikan.

—————————–

“Dan mereka bertanya kepadamu tentang roh. Katakan: “Roh itu daripada perkara urusan Tuhanku dan kamu tidak diberikan ilmu pengetahuan melainkan sedikit sahaja.” – Surah al-Isra’: 85

“Allah (Yang Menguasai Segala-galanya), Ia mengambil dan memisahkan satu-satu jiwa dari badannya, jiwa orang yang sampai ajalnya semasa matinya, dan jiwa orang yang tidak mati: dalam masa tidurnya; kemudian Ia menahan jiwa orang yang Ia tetapkan matinya dan melepaskan balik jiwa yang lain (ke badannya) sehingga sampai ajalnya yang ditentukan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan Allah bagi kaum yang berfikir (untuk memahaminya).” – Surah al-Zumar: 42