neelofa dipenjara
Neelofa bersama suami PU Riz ketika membeli karpet di Nilai 3 baru-baru ini.

LAYANAN “pilih kasih” terhadap golongan “kayangan” yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) telah membuatkan rakyat Malaysia naik muak dengan perangai mereka yang tidak serik-serik mengulangi kesalahan yang sama.

Berang dengan kedegilan seorang selebriti sensasi terkenal, Neelofa yang sudah beberapa kali ingkar arahan SOP tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) baru-baru ini, warganet mula menandatangani satu petisyen yang menyarankan supaya Neelofa untuk mendapat hukuman yang setimpal.

Setakat hari ini, petisyen yang dibangunkan melalui laman web change.org itu kini telah ditandangani lebih 30,000 individu.

Seorang individu yang menggunakan nama Hentikan Double Standard mendakwa bahawa Neelofa telah melanggar SOP sepanjang tempoh PKP dengan menyenaraikan beberapa kesalahan dan menuntut tindakan yang setimpal dikenakan kepada selebriti tersebut, menerusi laman web itu.

Petisyen tersebut menyenaraikan kesemua kesalahan ingkar SOP yang pernah dilakukan oleh Neelofa termasuk majlis perkahwinannya di ibu negara; rentas negeri ke Langkawi, Kedah; rentas negeri ke Nilai 3, Negeri Sembilan dan terbaharu, Neelofa dan ahli keluarga melanggar SOP ketika menyambut Hari Raya yang tular Aidilfitri lalu.

“Neelofa adalah seorang selebriti yang banyak kali melanggar SOP dan menidakkan undang-undang dalam usaha negara menangani pandemik Covid-19.

“Kesalahan-kesalahan dilakukan tanpa serik menyebabkan wujudnya undang-undang yang ‘double standard’ (pilih kasih) dikenakan terhadap beliau,” tulis keterangan pada petisyen berkenaan.

Baca artikel berkaitan: Neelofa, PU Riz mengaku tidak bersalah

Pagi tadi Neelofa atau nama sebenarnya Noor Neelofa Mohd. Noor dan suaminya, PU Riz mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Seremban atas kesalahan melanggar SOP selepas merentas negeri bagi membeli karpet ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Sebelum ini Neelofa telah dikompaun RM20,000 kerana tidak mengamalkan penjarakan fizikal ketika majlis perkahwinannya dengan PU Riz, dan 20 ahli keluarganya yang hadir di majlis tersebut dikompaun sebanyak RM1,500 setiap seorang.

Manakala untuk kesalahan ingkar kebenaran merentas negeri ketika ke Langkawi sejurus selepas majlis perkahwinan mereka, pasangan ini telah dikenakan kompaun sebanyak RM10,000.

Neelofa juga sudah memberikan keterangan di Ibu Pejabat Polis Brickfields bersama sembilan lagi ahli keluarganya atas dakwaan melanggar SOP ketika sambutan Aidilfitri yang lalu.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram