SEORANG lelaki bergelar Datuk Seri yang dipercayai dalang satu sindiket judi mesin slot merupakan antara 19 individu yang ditahan polis menerusi beberapa siri serbuan di sekitar ibu negara antara 17 hingga 20 Mei lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, polis turut merampas wang tunai berjumlah RM579,000, tiga utas jam tangan bernilai RM238,000, tujuh jongkong emas dan loket bernilai RM58,250 serta tiga kenderaan bernilai RM1.2 juta yang ditemukan di kediaman Datuk Seri itu.
Menurutnya, lelaki berusia 55 tahun yang dipercayai dalang utama sindiket itu ditahan di kediamannya di Bukit Segar, Cheras, di sini dalam operasi memerangi judi slot.
“Polis turut menahan sembilan individu lain yang dipercayai anggota sindiket berkenaan melibatkan seorang wanita tempatan, lima lelaki Myanmar serta tiga lelaki Bangladesh masing-masing berusia 17 hingga 71 tahun,” katanya, semalam.
Azmi dalam pada itu berkata, sindiket itu turut menjalankan aktiviti perjudian dalam talian selain permainan judi mesin slot dan dipercayai bergiat aktif sejak awal tahun ini.
Beliau menjelaskan, sembilan individu merupakan pemain serta penjaga premis, iaitu masing-masing tiga lelaki Bangladesh dan Myanmar yang ditahan ketika leka bermain judi mesin slot pada 17 Mei di sekitar Jalan Pudu di sini.
Ujarnya, turut ditahan seorang lelaki tempatan dan dua lelaki Myanmar yang dipercayai penjaga premis berkenaan.
“Hasil pemeriksaan, polis merampas sejumlah barang termasuk 16 alat kawalan, empat set komputer, dua kotak perisian, dua cip kredit perjudian, buku catitan perjudian serta wang tunai RM10,213.
“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 4 (1)(C) dan Seksyen 6 (1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 serta Seksyen 6 (1)(C) Akta Imigresen 1959/1963,” katanya.
Azmi menambah, empat daripada individu yang ditahan itu akan dikenakan tindakan mengikut Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959 dengan dua daripada mereka turut berdepan tindakan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA) 2001.

