Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberi bayangan tindakan lebih ketat akan diambil termasuk pelaksanaan PKPD di beberapa daerah di Selangor dan Kuala Lumpur ekoran kes yang masih tinggi. GAMBAR: Abd Razak Aid

KERAJAAN memutuskan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh atau total lockdown fasa pertama mulai 1 Jun hingga 14 Jun ini.

Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan memberitahu, sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) Mengenai Pengurusan Covid-19 yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin memutuskan untuk melaksanakan penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi ataupun total lockdown fasa pertama di seluruh negara bagi tempoh 14 hari tersebut.

Sepanjang tempoh itu, kata kenyataan tersebut semua tidak dibenarkan untuk beroperasi kecuali sektor ekonomi dan perkhidmatan perlu (essential economic and service sector) yang akan disenaraikan oleh MKN.

”Keputusan ini dibuat selepas mengambil kira situasi terkini penularan Covid-19 di Malaysia dengan jumlah kes harian telah melebihi 8,000 kes dan kes aktif melebihi 70,000 kes.

‘Setakat hari ini, seramai 2,552 orang telah meninggal dunia akibat wabak ini dan jumlah kematian semakin meningkat. Kewujudan varian-varian baharu yang lebih ganas dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi dan pantas juga turut mempengaruhi keputusan hari ini,’’ kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, dengan peningkatan kes-kes harian yang menunjukkan trend kenaikan secara lebih mendadak sejak mutakhir ini, kapasiti hospital di seluruh negara untuk merawat pesakit Covid-19 juga semakin terhad.

”Sekiranya lockdown fasa pertama ini berjaya mengurangkan kes-kes harian Covid-19, kerajaan akan melaksanakan lockdown fasa kedua, iaitu dengan membenarkan pembukaan semula beberapa sektor ekonomi yang tidak melibatkan perhimpunan yang besar serta boleh mematuhi penjarakan fizikal.

Lockdown fasa kedua ini akan dilaksanakan untuk tempoh empat minggu selepas fasa pertama berakhir,’’ kata kenyataan itu.

Pejabat Perdana Menteri juga memaklumkan, setelah berakhirnya lockdown fasa kedua, langkah seterusnya ialah memasuki fasa Ketiga, iaitu melaksanakan PKP seperti yang berkuat kuasa pada masa ini di mana aktiviti sosial tidak dibenarkan dan hampir semua sektor ekonomi dibenarkan beroperasi tertakluk kepada SOP yang ketat serta kehadiran secara fizikal di tempat kerja yang dihadkan.

”Walau bagaimanapun, keputusan untuk beralih dari satu fasa ke fasa yang berikutnya akan tertakluk kepada penilaian risiko oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Penilaian akan dibuat berdasarkan perkembangan kes-kes harian semasa dan kapasiti hospital di seluruh negara untuk merawat pesakit Covid-19,’’ katanya.

Kenyataan tersebut juga memberitahu, kerajaan akan memastikan sistem kesihatan awam di negara ini tidak akan runtuh dan pelbagai sokongan dan bantuan akan diberikan kepada KKM untuk meningkatkan kapasiti hospital di seluruh negara.

”Kerajaan juga akan meningkatkan jumlah pemberian vaksin dalam tempoh beberapa minggu akan datang dalam usaha untuk menghasilkan imuniti kelompok di negara ini.

”Susulan keputusan kerajaan untuk melaksanakan penutupan penuh sektor ekonomi dan sosial, Kementerian Kewangan akan memperincikan pakej bantuan kepada rakyat dan sektor ekonomi yang terkesan. Pengumuman mengenai pakej bantuan ini akan dibuat dalam masa terdekat.

”Semua rakyat Malaysia dinasihatkan untuk terus berdisiplin dan sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan bagi memutuskan rantaian jangkitan Covid-19. Yang terbaik ialah duduk di rumah atau stay at home untuk bersama-sama melandaikan lengkuk jangkitan Covid-19,’’ kata kenyataan itu lagi.