TENTERA pengganas Israel hari ini menembak mati seorang lelaki Palestin dan mencederakan 10 penduduk yang lain dalam satu demonstrasi antipenempatan haram Yahudi di Kampung Beita, selatan Nablus, Tebing Barat yang dijajah rejim.
Agensi berita Palestin WAFA melaporkan, Menteri Kesihatan Palestin berkata, Zakaria Hamayel, 28 tahun, ditembak di dada oleh tentera pengganas Israel sebelum meninggal dunia akibat kecederaan dialaminya beberapa minit kemudian.
10 lagi penduduk Palestin cedera akibat terkena tembakan peluru pengganas Zionis.
Tentera Israel bagaimanapun tidak mahu mengulas mengenai perkara tersebut.
Awal hari ini, ratusan penduduk Palestin berkumpul di bukit Jabal Sbeih berhampiran kampung itu bagi membantah usaha Zionis merampas tanah di kawasan itu bagi tujuan pembinaan penempatan haram Yahudi.
Bagaimanapun perhimpunan itu berdepan tindakan kekerasan tentera pengganas Israel yang bertindak melepaskan tembakan menggunakan peluru hidup dan getah selain melepaskan gas pemedih mata.
Ini bagi menyuraikan perhimpunan penduduk Palestin itu yang langsung tidak mendatangkan ancaman kepada tentera pengganas Zionis tersebut.
Peneroka haram Yahudi cuba merampas bukit itu yang dimiliki penduduk Kampung Beita namun usaha mereka digagalkan akibat demonstrasi penduduk Palestin.
Selasa lalu, tentera Israel membunuh seorang lelaki Palestin dalam serbuan yang dilancarkan ke atas kem pelarian Al-Amari berdekatan Ramallah.
Tentera Israel turut melakukan beberapa penangkapan di Tebing Barat menyusuli keganasan yang tercetus dalam konflik 11 hari antara Israel dengan Hamas sebelum gencatan senjata diumumkan pada 10 Mei lalu menerusi inisiatif Mesir.
Lebih 25 rakyat Palestin terbunuh dalam pertempuran di Tebing Barat, di mana lebih 400,000 warga Israel tinggal bersama 2.8 juta rakyat Palestin.
Israel mencerobohi Tebing Barat dan Semenanjung Gaza sejak 1967 menerusi Perang Enam Hari. Â

