futuris
Mahadhir Aziz

FUTURISE, syarikat yang diberi mandat oleh kerajaan untuk melaksanakan National Regulatory Sandbox (NRS), buat pertama kali telah mengeluarkan Laporan Impak (2018-2020) dikenali sebagai ‘Futurise Regulatory Summary for Stakeholders’ (FiRST).

Laporan tersebut menjadi bukti peranan syarikat itu menerajui inisiatif NRS dan juga sebagai penasihat dasar awam untuk industri dan kerajaan bagi membentuk ekonomi masa hadapan.

Sejak dari awal penubuhan Futurise, kerja-kerja intervensi pengawalseliaan, strategi penerapan inovasi dan pemacuan perkembangan ekosistem telah menjadi faktor utama dalam memastikan kejayaan inisiatif NRS yang mana dalam masa tiga tahun, inisiatif NRS telah mempengaruhi lebih daripada 4,000 penciptaan pekerjaan.

Laporan itu menyatakan Futurise, anak syarikat milik penuh Cyberview Sdn Bhd di bawah Kementerian Kewangan, juga telah memastikan ketersediaan lebih daripada 5,000 peluang pekerjaan di masa hadapan dalam tempoh masa lima tahun melalui pengawalseliaan industri dron.

Malaysia kini telah bersedia untuk menjadi salah satu pemain penting industri dron di rantau Asia dan Drone Industry Insight telah meletakkan negara ini di tempat ke-24 di dunia pada 2019 dalam pengembangan teknologi dron.

Salah satu hasil daripada program NRS Lab ialah penubuhan Drone Testing Zone (DTZ) pertama di Malaysia yang telah diumumkan pada 1 Julai 2019 semasa upacara MyDroneX.

Terletak di Cyberjaya, pemain industri dron diberi peluang untuk menguji inovasi dron mereka dalam persekitaran yang selamat dan terkawal yang akan membantu memacu industri dron secara keseluruhan dalam jangka masa panjang.

BERITA BERKAITAN Peluang hadir kursus usahawan percuma selama 12 hari bersama mentor terkenal, Dr Azizan

“Sehingga kini, lebih daripada 216 penerbangan dengan lebih 432 jam penerbangan telah dicatatkan di DTZ Cyberjaya,” kata syarikat itu dalam satu kenyataan akhbar, hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Futurise, Mahadhir Aziz berkata, syarikatnya akan meneruskan usaha mewujudkan impak yang penting sepanjang tahun 2021 bagi membentuk masa hadapan yang lebih baik dalam kemajuan peluang ekonomi negara.

“Selain itu, kami akan menyokong pertumbuhan inovasi dalam negara, mempercepatkan intervensi pengawalseliaan untuk menyelesaikan masalah perkongsian data (data sharing) dan mengurangkan pergantungan terhadap tenaga kerja asing dengan memastikan pekerjaan terus dapat diciptakan dalam inisiatif NRS Lab kami, ” katanya dalam kenyataan tersebut.

Laporan itu juga menyatakan lebih daripada 23,000 peluang pekerjaan dapat diwujudkan bagi pekerja-pekerja ekonomi Gig di Malaysia dalam tempoh masa lima tahun, khususnya dalam Servis Penjagaan Kanak-Kanak Secara Mobil (Mobile Child Care Services).

Futurise akan menyediakan prosedur operasi standard (SOP) yang diluluskan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk 20,000 pengasuh berdaftar menyertai inisiatif tersebut.

Pada suku keempat 2020, Kawasan Pengujian Kenderaan Berautonomi di Cyberjaya (MyAV) telah dilancarkan bersama dengan pihak Kementerian Pengangkutan di bawah inisiatif NRS untuk perkembangan projek kenderaan berautonomi.

Ia sekaligus dapat mewujudkan peluang pekerjaan yang dianggarkan sebanyak 200-250 khususnya dalam bidang robotik & kejuruteraan elektrik, pengaturcaraan (programming), pembelajaran mengenai mesin (machine learning), artificial intelligence (AI) dan kejuruteraan automotif.

Futurise juga merupakan peneraju dalam pembangunan kawasan pengujian kenderaan berautonomi di Cyberjaya yang merangkumi dua laluan dengan tujuan untuk menyokong pemain-pemain industri dalam menguji dan mengumpul data yang berkaitan.

Sejak Januari 2021, laluan pengujian telah digunapakai dengan anggaran sebanyak tiga kali seminggu dan melibatkan kira-kira jumlah jarak 480km secara keseluruhannya.

Selain daripada itu, Futurise melalui kerjasama dengan Institut Sukan Negara (ISN) sedang membangunkan rangka kerja regulasi dan peraturan yang perlu disesuaikan dengan industri sukan, teknologi sukan dan kemajuan yang berpotensi untuk mewujudkan ekosistem baharu.

Kerjasama dengan Akademi Sains Malaysia (ASM) pula melalui program iConnect oleh ASM dan FUTURITY oleh Futurise dapat meningkatkan padanan teknologi dan penyelesaian yang berpotensi yang diperlukan oleh industri.

Antara inisiatif lain yang juga sedang dijalankan di bawah program NRS Lab ialah Digital Stamping dalam usaha mempercepat perkhidmatan penyampaian digital kerajaan dengan impak lebih 5 juta transaksi yang dapat dibuat secara atas talian dan memberi kesan terhadap lebih daripada 10 juta pengguna daripada sektor awam dan swasta, sekaligus dapat mewujudkan potensi kutipan duti setem sebanyak RM 6 juta.

Laporan FiRST boleh diperoleh di laman web: https://futurise.com.my/first

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram