Futurise lancar pusat kecemerlangan sukan dron pertama di Malaysia

Dari Penulis

FUTURISE Sdn Bhd (Futurise) secara rasmi mengumumkan pelancaran Akademi Kecemerlangan Sukan Dron Negara (AKSADRON) yang pertama di Malaysia bertempat di Kuantan, Pahang, berikutan majlis pecah tanah pembinaan akademi tersebut hari ini.

AKSADRON akan menjadi hab untuk perlumbaan dan aktiviti dron berprestasi tinggi, selain merupakan zon sukan dron pertama di negara ini dengan menampilkan trek perlumbaan bagi menganjurkan acara sukan tersebut di peringkat antarabangsa.

Akademi itu juga akan mempelopori program pembangunan kenderaan udara tanpa pemandu (UAV) untuk memupuk lebih ramai rakyat Malaysia menyertai industri yang sedang berkembang tersebut.

Pelancaran akademi dilakukan sempena majlis pecah tanah oleh Timbalan Menteri Kewangan (I), Datuk Mohd Shahar Abdullah hari ini dengan dihadiri ramai peserta industri daripada sektor swasta dan awam dengan mendapat sokongan kuat daripada komuniti dron.

Dalam ucapannya, beliau berkata, pelancaran AKSADRON merupakan langkah penting ke arah memenuhi aspirasi negara untuk menjadi pemain utama dalam industri dron global dan hab dron rantau ASEAN.

“Dengan AKSADRON, kita akan dapat melihat lebih ramai rakyat Malaysia berbakat dihasilkan bagi memenuhi permintaan industri dron yang semakin berkembang di negara ini dan seluruh dunia. Ia juga akan menjadi pemangkin untuk merangsang dan melahirkan belia yang mahir dalam sukan tersebut.

“Saya menggalakkan rakyat Malaysia, sama ada belia atau bukan, untuk merebut tawaran AKSADRON serta berusaha untuk meningkatkan pengetahuan teknikal dan keupayaan mereka dalam teknologi dron dan seterusnya bersama memacu kemajuan negara,” katanya.

LAKARAN artis Akademi Kecemerlangan Sukan Dron yang akan dibina di Pahang.

Beliau yang merupakan Ahli Parlimen Paya Besar melahirkan rasa gembira kerana Pusat Kecemerlangan Sukan Dron Malaysia yang pertama itu terletak di Pahang dan Parlimennya, selari dengan rancangan pembangunan perbandaran kawasan tersebut.

“Sebagai zon sukan dron pertama di negara ini, AKSADRON akan membantu membuka pintu kepada bakat-bakat di Pahang dan seluruh wilayah Pantai Timur, mewujudkan pelbagai aktiviti ekonomi dan memastikan pertumbuhan inklusif dan pembangunan saksama untuk semua,” tambahnya.

Ketua Pegawai Eksekutif Futurise, Rosihan Zain pula berkata, sektor dron kini sedang mengalami perkembangan pesat di seluruh dunia dan Malaysia berada dalam kedudukan yang baik untuk memanfaatkan peluang tersebut.

BERITA BERKAITAN Meraque latih 500 belia untuk industri dron negara

“Teknologi dron mempunyai banyak potensi menarik untuk dikembangkan dalam pelbagai sektor – dari pertanian kepada pertahanan, yang telah terbukti mampu menjadi faktor pengubah dalam transformasi industri. AKSADRON juga akan menonjolkan bakat rakyat Malaysia dengan kepakaran UAV peringkat tinggi yang diperlukan melalui pelbagai program latihan yang akan diadakan.

“Akademi ini akan menjadi sebagai tempat rekreasi dan juga pusat penciptaan inovasi dengan memupuk sukan perlumbaan dron sambil melahirkan bakat baharu yang sangat mahir untuk kegunaan pelbagai sektor,” tambahnya.

Rosihan berkata, AKSADRON menandakan satu lagi kejayaan dalam komitmen Futurise untuk membangunkan industri UAV untuk negara, satu perjalanan yang bermula sejak 2019 selepas penubuhan Zon Ujian Dron (DTZ) pertama negara di Cyberjaya.

GAMBARAN artis bentuk trek perlumbaan dron di Akademi Kecemerlangan Sukan Dron.

AKSADRON akan menampilkan trek perlumbaan dron diiktiraf antarabangsa dengan ruang untuk pengawal dron (pilot pit), tempat penonton dan menara kawalan. Ia akan menjadi pusat sehenti cemerlang untuk peminat sukan dan juga pakar teknikal dron dengan kemudahan lengkap termasuk bilik darjah, bengkel, simulator penerbangan, ruang kerja dan penginapan.

Tapak untuk pusat seluas kira-kira 3.15 ekar tersebut terletak di Tasik Paya Bungor, Paya Besar, Kuantan dan dikelilingi oleh kawasan lapang yang sesuai untuk aktiviti penerbangan dron berprestasi tinggi. AKSADRON dijangka dibuka kepada umum sebelum akhir tahun.

Majlis pecah tanah hari ini turut menampilkan demonstrasi perlumbaan dron dan persembahan daripada Persekutuan Penerbangan Sukan Malaysia (MSAF) dan Persatuan Lumba Dron Malaysia (DRAM), dua organisasi yang akan dilantik sebagai penasihat kepada AKSADRON bersama pihak lain yang berkaitan.

Tahun lepas ketika membentangkan Bajet 2022, Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz telah mengumumkan peruntukan sebanyak RM5 juta untuk penubuhan ‘Pusat Kecemerlangan Sukan Dron’.

Pasaran dron di seluruh dunia semakin berkembang dengan ketara dan dianggarkan industri itu bernilai AS$41.3 bilion pada 2026 dengan mencatatkan Kadar Pertumbuhan Tahunan Terkompaun (CAGR) sebanyak 9.4 peratus.

Sehubungan itu, pelancaran AKSADRON bukan sahaja tepat pada masanya tetapi merupakan langkah penting untuk Malaysia dalam usaha menjadi pemain utama dalam industri dron sejagat.

Sementara itu, Futurise akan mengurus dan menjadi pentadbir AKSADRON dengan kerjasama MSAF dan DRAM untuk membolehkan pelbagai program latihan merangkumi peringkat permulaan hingga lanjutan dianjurkan di pusat tersebut.

Selepas akademi tersebut siap dibina, peminat dron boleh mengambil bahagian dalam klinik penerbangan dron berprestasi tinggi, menyertai kursus pembinaan dron dan penyelenggaraan yang diketuai oleh pakar industri.

-UTUSANTV


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Agong, Raja Permaisuri zahir ucapan Selamat Hari Bapa

YANG di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah menzahirkan ucapan Selamat Hari Bapa kepada semua...

More Articles Like This