PICK program sistematik, bukan cacamarba

Dari Penulis

Oleh CHE MAN CHE WIL

Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) bagi membentuk imuniti berkelompok mencatat kejayaan yang signifikan apabila sejumlah 3, 107,218 dos suntikan sudah diberikan kepada penduduk di negara ini setakat kelmarin.

Daripada jumlah tersebut seramai 1,104,873 orang telah menerima suntikan lengkap dua dos pelalian Covid-19 manakala 2,002,345 orang sudah menerima dos pertama.

Kadar inokulasi atau pemberian suntikan vaksin juga meningkat secara mendadak mulai 10 April lalu malah telah mendahului perangkaan yang direkodkan oleh negara-negara jiran yang lain seperti Indonesia, Filipina, Thailand, Myanmar dan Vietnam.

Berdasarkan kepada graf yang diterbitkan Our World In Data, Malaysia merekodkan 6.2 peratus daripada keseluruhan populasi sudah diberikan suntikan satu dos vaksin ini berbanding Indonesia (6 peratus), Filipina dan Thailand (3.6 peratus), Myanmar (3 peratus) dan Vietnam (1 peratus).

Program imunisasi yang bermula pada 23 Februari lalu menyasarkan 26.5 penduduk atau 80 peratus daripada keseluruhan 32.6 juta rakyat menerima suntikan vaksin bagi menghasilkan imuniti kelompok.

Program ini bermula dengan fasa pertama yang melibatkan petugas barisan hadapan, diikuti dengan fasa kedua untuk golongan orang tua dan warga emas manakala fasa tiga melibatkan kumpulan selebihnya.  

Setakat ini, PICK yang sudah memasuki fasa kedua berjalan lancar sebagaimana dirancang dan sambutan yang diterima sangat memberangsangkan terutama ketika kerajaan mempelawa orang ramai untuk mendaftar secara sukarela bagi mendapatkan suntikan vaksin jenis AstraZeneca baru-baru ini.

Hanya dalam masa beberapa  jam sahaja, kira-kira 300,000 dos yang ditawarkan habis ditempah.

Bagi pendaftaran secara sukarela kali kedua pula satu juta dos lagi ditawarkan dan kali ini sambutan yang diterima sungguh luar biasa sehingga laman web tersebut mengalami kesesakan trafik yang sangat teruk sehingga sukar diakses kerana permintaan yang sangat tinggi. Dalam masa hanya beberapa jam sahaja slot ini juga habis ditempah. 

Ekoran daripada sambutan luar biasa itu kerajaan memutuskan untuk memasukkan semula AstraZeneca ke dalam PICK  dan tidak akan ada lagi pendaftaran secara sukarela untuk vaksin tersebut selepas ini. 

Untuk makluman, vaksin AstraZeneca dikeluarkan daripada PICK kerana dibantah oleh segelintir rakyat Malaysia yang terpengaruh dan terpedaya dengan maklumat palsu yang disebarkan oleh netizen kononnya vaksin ini tidak selamat dan ditolak oleh banyak negara terutama negara Eropah.

Bagi mengelakkan berlaku pembaziran kerana bimbang tidak ada yang mahu kepada vaksin berkenaan, kerajaan menawarkannya menerusi pendaftaran secara sukarela. Apa yang berlaku adalah sebaliknya, sambutan sungguh luar biasa. 

Sambutan luar biasa ini juga dipercayai ada kaitan dengan situasi angka jangkitan dan jumlah kematian semasa. Ketika itu jumlah kes jangkitan dan kes kematian sangat tinggi, dan masing-masing barangkali merasa semakin tidak selamat dan terdesak untuk mendapatkan vaksin lebih awal. 

Walaupun sudah mendaftar dengan MySejahtera, ramai mahu mencuba nasib untuk mendapatkan suntikan vaksin awal, walaupun fasa sekarang adalah fasa kedua untuk golongan warga emas, orang tua dan kumpulan rentan. 

Lantas tuduhan yang mengatakan  program ini disusun dan dilaksanakan secara cacamarba adalah satu tuduhan liar dan jahat serta tidak bersandarkan kepada fakta. 

Janganlah hanya kerana satu insiden kecil ketika pendaftaran AstraZeneca baru-baru ini, keseluruhan program yang sedang berjalan sekarang dianggap cacamarba dan gagal.

Kejayaan atau kegagalan satu-satu program yang dilaksanakan oleh kerajaan tidak wajar diukur berdasarkan satu elemen atau satu faktor sahaja. Banyak perkara perlu dilihat dan diambil kira. Ini sudah   tentunya  melibatkan perancangan, pelaksanaan, sambutan, manfaat dan faedah serta kesan ke atas masyarakat keseluruhan.

Memanglah program ini ada sedikit kekurangan di sana sini tetapi itu tidaklah sampai kepada peringkat dilaksanakan secara cacamarba sebagaimana didakwa sebuah portal berita yang dikaitkan dengan seorang pemimpin yang cita-citanya memimpin negara masih tidak kesampaian.

Program ini dirancang dengan teliti,  berjalan mengikut landasan dan ditambah baik dari semasa ke semasa . Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan vaksin Covid-19 (JKJAV) sentiasa berlapang dada dan terbuka menerima pandangan atau input daripada orang ramai bagi menambah baik program ini. 

Apabila ada yang mencadangkan agar diperkenalkan kaedah mendapatkan vaksin menerusi unit bergerak atau secara mobile atau secara pandu lalu, kerajaan dengar dan respons. . 

Maka beberapa hari lalu, JKJAV mula menggerakkan Unit Bergerak Vaksinasi Covid-19 ke kawasan kampung, pinggir bandar atau ke tempat-tempat tertentu seperti pusat penjagaan warga emas, rumah orang tua, pusat penjagaan orang kurang upaya atau mereka yang bermasalah dan tidak ada kemampuan untuk ke pusat-pusat pemberian vaksin (PPV).

Projek perintis vaksin secara pandu lalu juga sudah dimulakan di Kota Bharu , Kelantan dan dijangka diperluaskan ke seluruh negara dalam waktu terdekat. Semuanya dilaksanakan bagi menyelamatkan nyawa dan memulihkan kehidupan rakyat yang terkesan teruk sejak pandemik ini melanda dunia tahun lalu.

Ancaman Covid-19 bukan perkara mainan dan semua program kerajaan yang dilaksanakan bagi mengekang penularan pandemik ini seterusnya melandaikan lengkungan jangkitan juga bukan main-main. Ini soal nyawa dan hidup mati rakyat. 

Justeru semua pihak tanpa mengira latar belakang politik perlu memainkan peranan masing-masing bagi memastikan kejayaan program ini. 

Janganlah tahu mengkritik dan mengecam sahaja. Lakulah kerja yang memberi faedah kepada semua. Dalam tempoh Sekatan Pergerakan Penuh (SPP) ini, duduk diam-diam di rumah lebih baik daripada berkata-kata perkara yang tidak elok termasuk mengecam dan mengkritik secara cacamarba!

  • Penulis adalah penganalisis politik.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Berkaitan

Harga diesel turun 30 sen seliter minggu ini

HARGA diesel di Semenanjung diturunkan 30 sen seliter bagi tempoh 18 Jun hingga 24 Jun ini. Kementerian Kewangan dalam kenyataan...

More Articles Like This