POLIS memandangkan serius dakwaan Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng terdapat anggotanya melakukan pemerasan terhadap dua individu berhampiran lampu isyarat di Jalan Besar Kampung Melayu, Kepong, pada Rabu lepas.
Ketua Polis Daerah Sentul ACP Beh Eng Lai berkata dakwaan itu dibuat Ahli Parlimen berkenaan semalam menerusi sidang media dan siasatan dibuat selepas berita mengenainya dikongsikan menerusi aplikasi WhatsApp.
“Ahli Parlimen itu serta dua individu terbabit dalam kejadian tersebut akan dipanggil bagi membantu siasatan.
”Polis memandang serius dakwaan itu dan tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap tiga anggota tersebut jika kejadian salah laku didapati benar-benar berlaku,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
BERITA BERKAITAN Kutip wang: 4 pegawai/anggota polis peras ugut pengurus kilang ditahan – Ayob Khan
Bernama.com melaporkan Eng Lai berkata, sehingga kini polis tidak menerima sebarang laporan daripada mana-mana pihak berhubung kejadian yang didakwa berlaku pada 6.45 pagi itu.
Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan dan orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Insp Noramalina Md Jamil di talian 017-3185868 atau Bilik Gerakan IPD Sentul 03-40482206.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

