PENINGKATAN kes COVID-19 yang ketara dalam tempoh masa singkat telah menyebabkan Politeknik Sultan Azlan Shah, Mualim, Perak dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selama dua minggu.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan sebanyak 37 kes positif telah direkodkan di Politeknik Sultan Azlan Shah.
Menurut beliau, jumlah itu dicatatkan hasil daripada 173 ujian saringan yang dilakukan dengan kadar positiviti 21.4 peratus.
“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP, kerajaan bersetuju untuk melaksanakan PKPD di Politeknik Sultan Azlan Shah berkuat kuasa 9 Jun sehingga 22 Jun 2021.
“Pelaksanaan PKPD ini untuk menyekat pergerakan keluar masuk ke lokaliti berkenaan serta memudahkan KKM menjalankan pengesanan awal kes supaya dapat diasingkan secepat mungkin,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Baca artikel berkaitan: Lagi PKPD beberapa lokaliti di Pahang dan Perak
Sementara itu, Ismail Sabri turut mengumumkan PKPD di tiga mukim dalam daerah Lipis, Pahang akan ditamatkan mengikut jadual pada esok, 8 Jun 2021.
Ismail Sabri berkata, sepanjang tempoh pelaksanaan PKPD, KKM telah melakukan 2,191 ujian saringan dengan 96 daripadanya disahkan positif COVID-19.
Kata beliau, Jabatan Kesihatan Negeri Pahang Bersama Pejabat Kesihatan Daerah yang terlibat akan mengenal pasti beberapa lokaliti yang berisiko tinggi untuk dibuat penilaian risiko bagi pelaksanaan PKPD mengikut lokaliti tersebut.
“Tindakan kawalan dan pencegahan telah dilaksanakan serta survelan diteruskan dari semasa ke semasa.
“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju menamatkan PKPD di tiga mukim dalam daerah Lipis pada 8 Jun 2021 (11.59 malam) seperti yang dijadualkan,” jelas beliau.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

