polis
Muhd Izani Mustapha menunjukkan kad laporan polis yang dibuat. - Gambar Harian Metro

JIKA semalam, Ahli Parlimen Kepong mendakwa terdapat anggota polis melakukan pemerasan atau ‘paw’ berhampiran lampu isyarat di Kepong, hari ini seorang pemuda mendakwa mengalami tindakan sama ketika pulang dari kerja di Machang, Kelantan.

Pekerja kilang, Muhd Izani Mustapha, 21, mendakwa masih trauma dengan kejadian itu apabila perutnya turut ditumbuk oleh empat lelaki dipercayai anggota polis sebelum mereka mengambil duitnya sebanyak RM600.

Pemuda tersebut ditahan di lampu isyarat di Kilometer 2.6 Jalan Machang-Tanah Merah, dekat bandar Machang, Muhd Izani Mustapha, 21, dalam perjalanan pulang dari tempat kerjanya di kampung Hutan Putih pada 8.15 malam, Khamis lalu.

“Ketika berada di lampu isyarat ‘flyover’ di bandar Machang, secara tiba-tiba motosikal saya dihalang oleh sebuah kereta jenis Proton Preve yang mempunyai lambang Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari hadapan menyebabkan saya terkejut.

“Empat lelaki yang mana salah seorang daripada mereka memakai pakaian seragam lengkap anggota polis dan tiga lagi berpakaian biasa turun dari kereta dan terus meminta kad pengenalan diri saya.

“Sebaik menyerahkan kad pengenalan, saya di minta untuk memberikan beg galas yang dibawa bersama,” katanya ketika ditemui pemberita Harian Metro dirumahnya di Kampung Padang Selising, Machang, hari ini.

Menurut portal akhbar itu, selepas dompet dan beg galas Muhd Izani diambil, salah seorang daripada mereka bertanya dan mendakwa dia mengambil barangan terlarang, namun dia menafikan perkara itu dan secara tiba-tiba perutnya ditumbuk.

“Pada masa sama, mereka juga bertanya sama ada saya mampu membayar atau tidak. Ketika itu saya terpinga-pinga dan tidak mengetahui apa yang dimaksudkan sebelum wang RM630 diambil di dalam dompet yang dipegang oleh mereka.

“Saya cuba merayu supaya mereka mengembalikan semula wang itu kerana wang berkenaan untuk membayar ansurans bulanan motorsikal, cukai jalan, serta melunaskan sewa rumah.

“Bagaimanapun selepas merayu, mereka hanya memberikan RM30 kepada saya sebelum beredar menghala ke Kota Bharu,” katanya.

“Susulan kejadian itu, saya sudah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Machang Jumaat lalu untuk siasatan lanjut,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Machang, Deputi Superintenden Ganti Jimmy mengesahkan menerima laporan berkenaan ketika dihubungi dan siasatan lanjut akan dijalankan.