JUMLAH pemberian vaksin seluruh negara semakin meningkat dan setakat semalam jumlah dos yang telah diberikan menghampiri empat juta dos dengan peningkatan kadar suntikan harian sejak pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Februari lalu.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, jumlah penerima dos pertama ialah sebanyak 2,724,048 orang dan daripada jumlah itu sebanyak 1,220,939 orang telah menerima dos kedua.
Jumlah keseluruhan dos diberikan mencapai angka 3.944,987 semalam dan jumlah suntikan harian mencatat rekod membanggakan apabila selama dua hari berturut-turut mencapar kadar melebihi 150,000 suntikan sehari.
Kejayaan itu sekali lagi direkodkan semalam apabila kadar pemberian suntikan vaksin ke seluruh negara, merangkumi dos pertama dan kedua ialah 154,866 iaitu peningkatan 2.35 peratus.
BERITA BERKAITAN Lebih 300,000 individu sehari akan terima vaksin mulai Ogos
Perangkaan kumulatif dikeluarkan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) hari ini menyatakan Kuala Lumpur memperoleh kadar pemberian pelalian tertinggi iaitu 577,344 dos.
Jumlah itu diikuti oleh penerima suntikan di Selangor yang menerima 556,404 dos; Sarawak (387,873); Johor (364,897); Perak (327,158) dan Sabah (302,986).
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

