Shalma Eliana berbicara tentang kekasih hati, penyanyi Ismail Izzani & karya terbaharu

0
798

HUBUNGAN cinta antara penyanyi Shalma Eliana dan Ismail Izzani bukan lagi rahsia.

Mereka juga begitu terbuka berkongsi kepada umum tentang keseriusan dalam percintaan yang mula berputik pada 2019.

Menurut Shalma atau nama penuhnya Shalma Eliana Bruhanutheen,21, dia akui sudah berbincang dengan Ismail tentang masa depan hubungan yang dibina.

“Kami memang dah ada rancangan untuk masa depan, tapi kami masih belum bersedia untuk bertunang atau berkahwin dalam masa terdekat.

“Sasaran saya mungkin akan akhiri zaman bujang pada usia 25 tahun. Malah, ibu bapa menyuruh saya menamatkan dulu pengajian ijazah sebelum melangkah ke alam perkahwinan,” katanya kepada URTV.

Tambah Shalma lagi, dia akur terpaksa menangguhkan hasratnya untuk melanjutkan pelajaran yang sepatutnya sudah bermula pada awal tahun ini di Australia akibat pandemik Covid-19.

Namun, cita-citanya untuk ‘terbang ke luar negara bagi menimba ilmu tidak akan pernah padam meskipun terpaksa ditangguhkan demi kesihatan dirinya.

“Sepatutnya saya akan menyambung pengajian Ijazah di Australia selama dua tahun.Tetapi disebabkan kes Covid-19 masih belum reda, perancangan tersebut terpaksa ditangguhkan.

“Apa-apa pun semangat saya untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara masih membara dan Insya-Allah jika situasi sudah kembali pulih, mungkin tahun depan saya akan tetap ‘terbang’ ke luar negara.

“Ada dua pengajian yang masih saya pertimbangkan iaitu Komunikasi & Pengajian Media atau bidang Perniagaan. Dua bidang pengkhususan ini antara pilihan cuma saya masih memikirkan yang mana akan menjadi keutamaan,” ungkapnya.

Shalma yang juga adik kepada pengacara Shalma Ainaa berkata demikian ketika sidang media pelncaran dua single terbaharunya, Rambang dan Naik kolaborasi bersama penyanyi rap, Abubakarxli, baru-baru ini.

Bercerita lanjut tentang buah tangan terbaharunya, Shalma menyifatkan Rambang adalah sebuah karya yang memperlihatkan sisi survival dan bakat yang dimilikinya.

Lagu bergenre balada itu menjadi karya kedua dendangannya selepas Aroma yang masih mengekalkan khidmat duo komposer, Mas Dewangga dan Firdaus Rahmat.

“Tahun lalu, pertaruhan lagu Aroma menggunakan duo komposer berkenaan ternyata memikat hati saya. Jika Aroma seakan mengangkat pemerkasaan wanita, Rambang pula masih dalam acuan sama cuma membezakannya ialah cara penyampaian.

“Dalam erti kata lain, ia diserlahkan dengan ‘attitude’ saya sendiri melagukan karya itu dengan penuh keberanian. Seperti saya berani bersuara dan pilihan yang ada adalah untuk terus jadi kuat. Ia juga secara tidak langsung menjadikan saya lebih kuat dan tidak pantas mengalah dalam apa saja yang melemahkan.

“Saya macam orang lain juga akan cuba buat benda yang kita suka. Itulah prinsip dan pegangan saya.Insya-Allah saya takkan buat sesuatu hanya kerana orang lain mahu atau sebab nak tular mahupun mengecap populariti sekelip mata.

“Cukup saya kongsi atau bentangkan muzik untuk halwa telinga pendengar dan peminat yang diri ini dengari dan dinikmati. Jika ia mengambil masa sekalipun untuk saya mencuri perhatian, itu tidak sesekali mengubah niat perjuangan seni ini,” katanya.

Merakamkan lagu itu pada 8 Mac lalu di studio komposer terbabit di Damansara, Rambang disifatkannya sebagai satu eksperimentasi baru buatnya.

“Seperti pemahaman tepat judul lagu ini seolah rambang mata atau dikaburi dengan ‘kebaikan’ seseorang, Rambang boleh saya katakan bersifat ‘dark’ namun ada mesej bermakna.

“Jujur tak sangka yang saya mampu mengalunkan lagu berentak balada. Lagu ini seolah olah mengeluarkan aura yang baru dalam diri saya.

“Harapnya lagu ini boleh diterima dan dekat kepada mereka yang pernah terluka atau melalui fasa kekecewaan. Namun harus diingat kesedihan itu jangan terus dijadikan ruang untuk mengalah. Moga Rambang akan menyebelahi nasib saya untuk tahun ini,” ujarnya.