KERAJAAN mengiktiraf sepenuhnya kewujudan Jawatankuasa Khas Bebas Darurat yang ditubuhkan di bawah Seksyen 2, Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021.

Sehubungan itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengulangi komitmen dan jaminan bahawa kerajaan akan sentiasa mematuhi segala peruntukan undang-undang.

Kata beliau, ia termasuk dalam melaksanakan tanggungjawab semasa membuat sebarang keputusan mengenai darurat termasuk mengiktiraf segala mekanisme yang wujud secara sah di sisi undang-undang.

Takiyuddin menegaskan, kerajaan juga tidak pernah campur tangan dalam sebarang urusan Jawatankuasa Khas Bebas Darurat.

“Sebaliknya, kerajaan memberi sepenuh kerjasama supaya jawatankuasa ini dapat melaksanakan fungsinya sebagaimana yang diperuntukkan dalam Seksyen 2.

“Kerajaan juga terus berperanan menjalankan kuasa eksekutif Persekutuan semasa tempoh darurat berkuat kuasa sebagaimana diperuntukkan dalam Seksyen 11, Ordinan Darurat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Baca artikel berkaitan: Tiada siapa alih tiang gol, hanya bantu pengadil – Takiyuddin

Darurat: Kerajaan beri jaminan ikut Perlembagaan buat keputusan

Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata, sebaiknya semua pihak akur kepada fungsi masing-masing yang ditetapkan di bawah kerangka perundangan sedia ada.

Semalam, Takiyuddin berkata, Kabinet bertanggungjawab menasihati Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengenai keperluan untuk darurat dilanjutkan atau tidak.

Kerajaan juga, kata Takiyuddin, memberi jaminan akan mengikut semua mekanisme yang wujud di dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan serta undang-undang negara dalam membuat sebarang keputusan berkaitan darurat.

Kenyataan itu menerima kritikan pelbagai pihak termasuk Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Azalina Othman Said yang berkata, kerajaan seharusnya tidak cuba ‘mengalihkan tiang gol’ pada ketika tempoh pelaksanaan darurat hanya berbaki kira-kira dua bulan lagi untuk tamat.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail turut mempersoal kenyataan Takiyuddin sebagai mengelirukan.

Sebagai seorang daripada ahli jawatankuasa itu, Saifuddin Nasution meminta Takiyuddin segera tampil memberikan penjelasan supaya beliau dapat membuat keputusan berhubung kedudukan dan peranannya dalam jawatankuasa tersebut.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram