ANALISIS
HARI ini kita masuk minggu kedua fasa ‘total lockdown’ atau PKP 3.0 setelah minggu pertama yang dlaksanakan selama 14 hari mulai 1 Jun lalu gagal menurunkan kes jangkitan Covid-19.
Setakat ini kes jangkitan ‘tidak stabil’ masih berlegar antara 5,000 hingga 8,000 kes dan semalam statistik Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memberi isyarat agak ‘membimbangkan’ apabila hampir kesemua 15 kluster baharu yang dikesan melibatkan tempat kerja dan separuh daripada melibatkan perindustian.
Pada masa ini terdapat 766 kluster masih aktif termasuk ‘kluster’ yang disebabkan segelintir orang ramai melakukan ‘tindakan tidak bijak’ dan akhirnya menyusahkan orang iaitu Kluster Raya.
Selain itu, kita juga masih berhadapan dengan kelompok ‘tak faham bahasa’ yang terus melanggar SOP sehingga setiap hari lebih 800 orang ditahan kerana kesalahan itu dan ada antaranya diremah. Namun begitu ancaman terbesar kita ketika ini ialah kluster tempat kerja. Setiap hari kes kluster ini meningkat terutamanya di kawasan kilang.
Penulis tidak mempersoalkan keputusan kerajaan yang membenarkan sektor ekonomi tertentu beroperasi termasuk perindustrian dan sepatutnya mereka yang terlibat menghargai kebenaran itu.
Malangnya keadaan itu seolah-olah tidak berlaku sebab itulah kluster tempat kerja wujud. Ini bukan soal kerajaan melakukan ‘total lockdown separuh masak’ atau tidak, tetapi ini berkaitan dengan kegagalan majikan terlibat memastikan SOP dipatuhi.
Tetapi ada majikan yang mengabaikan arahan ini sebab itulah melalui pemeriksaan yang dijalankan ke atas 268 buah kilang daripada 1 Jun hingga 9 Jun lalu 75 kilang dikenakan kompaun manakala 59 lagi diarahkan tutup. Maknanya daripada 268 kilang itu 134 daripadanya langgar SOP!
Itu belum lagi kiratempat kerja lain yang dibenarkan beroperasi, kita tidak pasti sejauh manakah SOP dipatuhi.
Apapun kita sudah memasuki fasa genting, kerajaan tidak boleh lagi bertolak ansur dengan sektor yang diberi peluang beroperasi tetapi tidak mematuhi SOP. Ia memandangkan apabila kes meningkat dan kluster tempat kerja terutamanya perindutrian menjadi salah satu penyumbang, kerajaan akan dipersalahkan.
Kerajaan dituduh macam-macam dan langkah kerajaan diperlekehkan oleh kelompok yang memang menanti masa sahaja untuk melihat kerajaan gagal menangani pandemik Covid-19.
Sebab itulah bila kes meningkat, wah! bukan main hebat lagi mereka mencanangkan ‘total lockdown separuh masak’. Dan mereka juga mempersendakan langkah kerajaan melanjutkan fasa pertama ‘total lockdown’.
Sebenarnya lanjutan itu tidak mengejutkan atau perlu buat-buat terkejut atau satu kejutan, jadi tak perlu bertanya ada terkejut atau tidak, hanya orang tidak cerdik sahaja bertanya soalan itu.
Memang sesiapapun melihat angka kes yang berlegar antara 6,000 hingga 8,000 sehari ketika Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membuat pengumuman lanjutan ‘total lockdown’ itu akan faham dan memahami keputusan kerajaan. Yang buat-buat tak faham dan buat-buat tanya terkejut atau tidak, tidak payahlah layan, buang masa sahaja sebab mereka ada niat politik.
Bagaimanapun memasuki minggu kedua ini, tindakan lebih tegas harus dilakukan sementara kerajaan sedang merangka Pelan Pemulihan Negara sebagai persiapan untuk negara keluar daripada pandemik Covid-19.
Apapun perancangan dan pelan kerajaan tidak akan berjaya kerana seperti mana kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam, ‘’ini adalah cabaran besar yang bergantung kepada kerjasama dan sokongan semua pihak.’’
Atas sebab itulah semua pihak kena beri sokongan dan kerjasama terutamanya sektor-sektor yang dibenarkan beroperasi,. Mereka perlu pastikan SOP dipatuhi. Begitu juga orang ramai.
Ini tempoh penting dan kritikan untuk kita seperti mana kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr.Noor Hisham Abdullah. Sasaran KKM ialah mengurangkan kes kepada 4,000.
‘’Dalam tempoh berkenaan kerjasama semua pihak amat diperlukan untuk membantu melandaikan lekuk Covid-19 yang masih mencatatkan bilangan hari tertinggi,’’ katanya semalam melalui akaun Twitter beliau.
Penulis tidak pasti sudah beribu kali Dr.Noor Hisham memberi nasihat seumpama itu. Tetapi ada yang degil sebab itulah beliau kesal dengan tindakan sesetengah pihak yang masih melakukan pergerakan yang tidak perlu, termasuk perhimpunan seperti parti keramaian dan majlis.
Bagi penulis, kelompok ini bukannya tidak tahu tetapi orang Kedah kata ‘tak dak akai’ sebab mereka dah tahu apa yang buat itu salah dan langgar SOP tetapi buat juga. Dan penulis percaya golongan ‘tak dak akai’ ini masih ramai lagi termasuk di sektor dibenarkan beroperasi.
Oleh itu dalam tempoh SEMINGGU INI (7 HARI), jika tiada tanda-tanda bahawa kes akan turun di bawah 4,000, kerajaan seharusnya tidak perlu lagi teragak-agak untuk melakukan ‘total lockdown’ sepenuhnya yang bertaraf ‘perintah berkurung’. Tutup semua sektor ekonomi termasuk perkilangan!
Biarlah mana-mana kementerian ‘nak merajuk ‘ atau ‘nak kata apapun’, kita sudah tidak ada pilihan kalau kes terus meningkat. Ia bukan salah kerajaan, kerajaan sudah buat macam-macam tindakan dan langkah sama ada dari segi mengawal jangkitan mahupun ekonomi.
Tetapi sebahagian kita bagaikan tidak tahu berterima kasih. Jadi cara terbaik buat ‘total lockdown’ seperti itu, dalam tempoh dua minggu semua dok rumah diam-diam, sapa langgar SOP bagi dendam maksimum tana kompromi!
Pedulikanlah apa pun orang nak kata, biarlah apapun pakar ekonomi nak tafsir…yang penting bila kes tidak turun-turun juga akibat perlanggaran SOP nyawa rakyat ini dalam bahaya.
Tambahan pula, kes meningkat inilah menjadi modal besar kepada parti-parti politik untuk ‘menyerang’ kerajaan dengan pelbagai hujah sehingga berjaya mewujudkan persepsi ‘kerajaan gagal’.
Walaupun mereka tahu apa yang kerajaan lakukan bagi mengawal pandemik dan membantu rakyat namun itu sudah pasti tidak diuar-uarkan apatah lagi disokong kerana ada antara mereka mahu meraih keuntungan politik melalui pandemik.
Justeru kerajaan tidak boleh membiarkan keadaan ini berterusan, kalau peningkatan terus berlaku, laksanakan ‘perintah berkurung penuh’! Itu sahaja pilihan tepat dan terbaik.

