DALAM beberapa hari ini, ketika negara terus bergelut memerangi penularan pandemik Covid-19, arena politik terus dipanaskan dengan berita-berita palsu yang merimaskan. Tiada parti yang selamat dan ada individu menjadi sasaran.
Pelbagai poster dicipta, pelbagai kenyataan palsu direka sehingga parti-parti terlibat terpaksa pula membuat penafian. Ada ahli politik yang melatah dan ada pula menerimanya dengan tenang. Tetapi persoalannya, siapakah di sebalik ‘kerja gila’ menyebarkan dakyah-dakyah tersebut?
Penulis percaya semua itu bukan dibuat suka-suka atau sekadar mahu ‘mewarisi’ watak filem Joker – yang seronok melihat orang lain menderita dan kelam kabut. Tetapi ia ada tujuan dan matlamatnya. Kalau mengkaji poster dan kenyataan yang disebarkan, ada sasaran tertentu bukannya ‘membabi buta’.
*Serangan ke atas Hishammuddin
Ia bermula dengan ‘serangan’ ke atas Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein. Menteri Luar diuar-uarkan akan menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU). Motif ‘serangan’ ini jelas iaitu mahu merosakkan reputasi Hishammuddin.
Kemudian muncul pula poster ucapan tahniah kepada Hishammuddin sebagai Perdana Menteri dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai Timbalan Perdana Menteri. Tidak cukup dengan itu ia disusuli pula dengan surat palsu pemecatan serta-merta beliau sebagai ahli UMNO.
Walaupun Ahli Parlimen Sembrong itu jarang sekali bercakap soal politik sebaliknya menumpu perhatian penuh kepada tugasnya sebagai Menteri Luar Negeri terutamanya memperbaiki semula hubungan dengan negara-negara Asia Barat dan China, namun beliau tetap jadi sasaran.
Lebih aneh lagi, Hishammuddin bukannya memegang jawatan penting dalam UMNO. Beliau hanya Ketua UMNO Bahagian Sembrong. Tetapi ada kelompok mulai gelisah dengan kewibawaan Hishammuddin dan dianggap boleh menjadi penghalang pemimpin yang mereka sokong menjadi Perdana Menteri.
Dalam konteks ini, tidak keterlaluan dikatakan ‘serangan’ ke atas Hishammuddin boleh datang daripada dua pihak sama ada daripada luar atau dalam UMNO sendiri.

Orang luar mempunyai dua misi, pertama memecah belahkan perpaduan UMNO dan kedua menggugat kestabilan dalam Kerajaan Perikatan Nasional (PN). Melalui tindakan itu mereka mengharapkan pemimpin-pemimpin di kedua-dua parti akan berwaspada dan meragui Hishammuddin.
Tetapi Hishammuddin tidak melatah, beliau tenang menghadapi ‘serangan’ ke atasnya dan tidak mahu terperangkap dengan ‘mainan politik bodoh’ seumpama itu.
Pada hari yang sama, tersebar pula kenyataan media bersama yang kononnya dikeluarkan oleh Pas dan Warisan mengandungi pendirian menyokong Hishammuddin sebagai Perdana Menteri. Ini juga perbuatan jahat yang bertujuan menjejaskan imej Pas sebagai anggota rasmi dalam Perikatan Nasional (PN).
Puak yang melakukan perbuatan ini jelas mahu melaga-lagakan Pas dengan kepemimpinan PN seperti mana niat mereka mahu mewujudkan keraguan kepemimpinan PN terhadap Hishammuddin. Maknanya misi mereka ialah PN khususnya parti Bersatu akan meragui Hishammuddin dan Pas.
*’Jajaran Harapan’
Tidak cukup dengan itu tersebar pula poster tiga pemimpin Pakatan Harapan (PH) dan Presiden UMNO Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi dengan slogan ‘Jajaran Harapan’. Perkataan jajaran ini mula popular apabila Ahmad Zahid bercakap soal Jajaran Baharu bagi menghadapi PRU-15.
Tiada kenyataan tegas dan jelas berhubung bentuk jajaran baharu ini ditambah pula dengan tersebarnya rakaman audio yang didakwa melibatkan Ahmad Zahid dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ia ‘memudahkan lagi’ mereka yang ‘gila’ menghasilkan berita palsu ini menyebarkan propaganda mereka, walaupun kedua-dua pemimpin itu menafikannya.

Setakat ini beberapa pemimpin kanan UMNO dengan tegas tetap menolak sebarang kerjasama dengan PKR dan DAP, sekaligus tidak mahu sebarang kesepakatan dengan Anwar. Tetapi apabila wujudnya istilah ‘Jajaran Harapan’, keadaan dalam UMNO akan menjadi tidak menentu.
Walaupun ada pemimpin UMNO cepat melatah dengan menuding jari kepada Bersatu, bagi penulis itu bukanlah tindakan bijak sebaliknya hanya akan menggembirakan kelompok yang mahu memecah belahkan UMNO.
*Kenapa, mengapa, siapa?
Persoalannya, kenapakah secara tiba-tiba arena politik negara ‘dicemari’ dengan berita palsu bagaikan mahu bersaing dengan kluster-kluster Covid-19 yang wujud setiap hari .
Angkara siapakah yang menyebarkan ‘varian’ ini? Kita boleh membuat tafsiran, boleh meneka dan boleh menuduh orang itu orang ini, tetapi adakah ia akan menghentikan ‘kegilaan’ kelompok yang menghasilkan berita palsu tersebut?
Sudah pasti tidak kerana kelompok yang berbuat demikian sama ada ada ‘masalah mental’ atau telah diupah untuk berbuat demikian. Tidak payah buang masa bercakap soal dosa pahala kerana kelompok itu tidak akan mempedulikannya.
Kalau mereka ada masalah ‘mental’ mereka sama taraf dengan watak Joker seronok hidup orang kucar-kacir dengan ‘kerja bodoh’ mereka. Dan kalau mereka diupah untuk berbuat demikian, dalang tersebut sememangnya amat-amat tidak bertanggungjawab apatah lagi ketika tumpuan negara ialah memerangi pandemik Covid-19.
Penulis faham, ketika ini ramai mahu mengambil kesempatan, ramai mahu menonjolkan diri dan banyak parti politik hendak menunjukkan kononnya mereka boleh memerintah jauh lebih baik daripada kerajaan sedia ada, tetapi adakah saat dan ketika ini ia sesuai untuk berpolitik? Perang lawan Covid-19 belum berakhir kini wujud pula ‘perang lawan seteru politik’!
Tidak kira siapapun mereka, sama ada mahu berkuasa, kemaruk mahu berkuasa atau rasa masih berkuasa, jika ada antara mereka menjadi dalang kepada penyebaran berita palsu ini, jelas sekali mereka sama sekali tidak layak diberi kuasa.
Rakyat sudah penat dan letih dengan Covid-19. Rakyat sudah muak dengan mainan politik tidak berkesudahan, justeru hentikan perbuatan tidak waras dengan menyebarkan berita palsu kerana mereka yang ‘jiwa kacau’ dan takut bayang-bayang sendiri sahaja akan berbuat demikian termasuklah jika dalang itu bertaraf pemimpin.

