SEBANYAK 64 projek pembangunan semula sekolah daif telah berjaya disiapkan di seluruh negara sejak tahun 2025 hingga suku kedua tahun ini.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek memaklumkan, daripada jumlah tersebut, sebanyak 48 projek telah siap sepanjang tahun lalu.
Kata beliau, ia melibatkan 13 negeri dengan Sarawak mencatat jumlah tertinggi dengan 17 projek diikuti Sabah dengan 10 projek.
Bagi tahun 2026, Fadhlina berkata, langkah proaktif itu diteruskan dengan 16 projek tambahan telah disiapkan merentasi tujuh negeri sehingga suku kedua tahun ini.
Menurutnya, Sarawak terus mencatatkan jumlah tertinggi dengan lapan projek serta masing-masing dua projek di Pahang dan Perak.
“KPM kekal komited dalam memastikan setiap murid berada di dalam persekitaran pembelajaran yang selamat dan kondusif.
“Ia merupakan komitmen yang bukan sekadar janji tetapi telah dan sedang ditunaikan dengan penuh tanggungjawab,” katanya dalam jawapan bertulis disiarkan di laman web Parlimen.
Beliau menjawab pertanyaan Sabri Azit (PN-Jerai) berhubung jumlah sekolah daif yang berjaya disiapkan dalam tempoh tahun 2025 hingga suku ketiga 2026 di seluruh negara.
Mengulas lanjut, Fadhlina berkata, secara keseluruhan sejak 2016, kerajaan telah meluluskan sebanyak 1,250 projek pembangunan semula bangunan daif di sekolah di seluruh Malaysia.
Kata beliau, ia menelan belanja sebanyak RM13.8 bilion.
Daripada jumlah tersebut, Fadhlina berkata, sebanyak 813 projek telah siap, 173 pada peringkat bina dan 264 lagi pada peringkat prabina.
“Kementerian Pendidikan (KPM) akan terus memastikan projek pembangunan semula bangunan sekolah daif dilaksanakan mengikut jadual dan mematuhi piawaian ditetapkan.
“KPM juga akan memantau kemajuan projek yang masih berjalan selain mempercepatkan penyelesaian secara menyeluruh dengan menjamin setiap projek disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan, berkualiti tinggi dan benar-benar memenuhi keperluan komuniti setempat,” katanya.

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.





