
TAN Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengumumkan Pelan Pemulihan Negara yang merupakan strategi peralihan keluar secara berfasa dari kemelut pandemik COVID-19 untuk membolehkan rakyat negara ini kembali hidup seperti biasa.
Perdana Menteri berkata, pelan peralihan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mempunyai empat fasa secara berperingkat, bermula daripada Fasa Pertama iaitu ‘PKP Menyeluruh’ atau ‘total lockdown’ yang sedang dilaksanakan sekarang sehingga Fasa Keempat yang dijangka berakhir akhir tahun ini.
Beliau berkata, setiap peralihan fasa pelan pemulihan ini berpaksikan kepada tiga indikator ambang utama iaitu bilangan kes jangkitan harian, sistem kesihatan awam (kadar penggunaan katil di wad ICU) dan peratusan penduduk terima dua dos suntikan vaksin.
Katanya, kerajaan akan menimbang peralihan daripada fasa pertama (PKP Menyeluruh sekarang) kepada Fasa Kedua PKP setelah:
● Purata kes harian COVID-19 menurun di bawah 4,000 kes;
● Sistem kesihatan awam tidak kritikal, kadar penggunaan katil di ICU pulih ke paras sederhana; dan
● 10 peratus populasi telah menerima dua dos suntikan vaksin.

“Fasa Kedua merupakan kesinambungan daripada Fasa Pertama dengan aktiviti sosial dan kawalan pergerakan terus dikawal dengan ketat,” katanya ketika mengumumkan mengenai pelan pemulihan tersebut yang disiarkan di siaran televisyen dan media sosial, hari ini.
BERITA BERKAITAN Alhamdulillah.. Jangkitan baharu mencatatkan kes di bawah 5,000 hari ini sejak PKP3.0
Muhyiddin berkata, semasa Fasa Kedua, aktiviti ekonomi akan dibuka secara berperingkat dengan membenarkan kapasiti pekerja sehingga 80 peratus di premis bagi sektor yang tersenarai dengan aktiviti sosial dan rentas negeri masih tidak dibenarkan.
Katanya, bagi Fasa Ketiga pula, ia melibatkan peralihan daripada pendekatan senarai positif kepada senarai negatif, iaitu di mana semua aktiviti ekonomi dibenarkan beroperasi kecuali aktiviti yang berisiko tinggi untuk jangkitan COVID-19 yang masih ditutup.
Beliau berkata, peralihan kepada Fasa Ketiga akan dilaksanakan apabila purata kes harian menurun ke paras bawah 2,000 kes, sistem kesihatan awam di tahap selesa, katil di ICU mencukupi dan 40 peratus penduduk telah menerima dua dos suntikan vaksin.
“Nilai ambang ini dijangka dapat dicapai paling awal pada akhir bulan Ogos 2021,” katanya.
Fasa ketiga melibatkan peralihan daripada pendekatan senarai positif kepada senarai negatif, iaitu di mana semua aktiviti ekonomi dibenarkan beroperasi kecuali aktiviti yang berisiko tinggi untuk jangkitan COVID-19.
“Semasa fasa ketiga, semua sektor ekonomi akan dibenarkan beroperasi kecuali aktiviti yang tersenarai dalam senarai negatif, iaitu aktiviti yang berisiko tinggi menyebabkan jangkitan COVID-19 atau melibatkan keramaian.
“Sektor ekonomi akan kekal dibenarkan beroperasi pada kapasiti 80 peratus seperti fasa kedua dan aktiviti sosial termasuk pendidikan dan sukan tertentu boleh mula dibuka secara berperingkat,” katanya.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram