PADA akhir 1950-an, di sebuah universiti di London, seorang anak muda bertubuh kecil menyahut janji dan azam bersama kawan-kawannya untuk menjadi jutawan pada usia 35 tahun. Walaupun sukar, memandangkan negara mereka baru saja mencapai kemerdekaan, tapi kumpulan pelajar itu menanam tekad untuk mencapai cita-cita tersebut.

Pulang ke tanah airnya, Malaysia, anak muda yang berbadan kecil itu bekerja sebagai peguam, sesuai dengan bidang pengajiannya semasa di London. Tetapi selepas bertahun-tahun bekerja, dia sedar, menjadi peguam tidak akan menjadikannya jutawan.

Kawannya, Ramani datang ke pejabat dengan Rolls Royce, dibayar RM20,000 satu kes, tetapi hidup tertekan. Ramani menghidap insomnia, dalam seminggu hanya dapat tidur sehari saja. Yang kaya dan hidup gembira ialah tauke-tauke Cina dan mat saleh. Mereka bukan profesional, tetapi peniaga berjaya.

Ramani kaya, ada Rolls Royce, tapi hidup tertekan hingga menghidap insomnia.

Ya, dia boleh jadi orang kaya, tetapi bukan jutawan. Yang boleh menjadikannya jutawan, ialah berniaga. Lantas dia menceburi bidang perniagaan pula.

Dengan idea sahabat baiknya, peniaga berbangsa Cina bernama Low, pada 1969 lelaki bertubuh kecil ini memulakan perniagaan membuat garam di Kuala Selangor dengan menyejatkan air yang dipam dari laut.

Idea itu diperoleh oleh Low selepas berjumpa tukang tilik dan feng shui. Untuk memulakan perniagaan tersebut, lelaki itu keluarkan modal RM100,000 dari wang simpanannya, kemudian membuat tinjauan cara membuat garam di Taiwan, Thailand dan Jepun.    

Tetapi perniagaan itu kemudiannya lingkup disebabkan hujan dan banjir. Bomoh hujan pun hanya mampu membantu sehari saja! Petak-petak yang digunakan untuk menyejatkan air laut bertukar menjadi seperti bendang! 

Perniagaan ini terus bungkus apabila tidak mampu lagi bersaing akibat pengimportan garam oleh syarikat-syarikat besar. Bank datang memburu lelaki ini dan rakan-rakan kongsinya.

Dia buka kilang garam, tapi lingkup.

Dari mana hendak cari duit buat membayar hutang?

Lelaki ini membuka pula kilang pembungkusan dan kilang paip besi tuang, di Melaka. Tapi kilang pembungkusan yang berasaskan plastik itu juga terpaksa ditutup tidak lama kemudian kerana tidak mampu bersaing dengan syarikat-syarikat besar dan mogok pekerja.

Lelaki ini pening kepala. Dalam masa tidak sampai setahun, dua jenis perniagaannya lingkup. Dia menggaru kepala? Bagaimana hendak menjadi jutawan? Dari mana hendak mencari wang buat membayar hutang yang menimbun-nimbun?

Tetapi dia belum berputus asa. Dia masih ada kilang membuat paip besi tuang. Firma guamannya juga masih beroperasi. Sekurang-kurangnya dia masih boleh bertahan.

Sekurang-kurangnya juga, orang yang tidak tahu nasib yang sedang menimpanya menganggap lelaki bertubuh kecil ini masih ‘kuat’, walaupun hakikatnya…

Cita-cita menjadi jutawan tetap diteruskan. Pada awal 1970-an, lelaki ini dan rakan-rakan niaganya berjaya memperoleh 160 ekar tanah berhampiran Kampung Pandan, Kuala Lumpur. Tanah bekas lombong dan dihuni oleh lebih 2,000 keluarga setinggan Melayu, Cina dan India itu dikurniakan kepada mereka oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

Tanah itu mereka bangunkan menjadi sebuah kawasan perumahan dan perniagaan baru bernama Taman Maluri. Beberapa tahun berusaha, pertengahan 1970-an, projek tersebut membuahkan hasil yang lumayan. Rumah dan premis perniagaan yang dijual mendapat sambutan hangat.

Keuntungan daripada projek itu bukan saja membolehkan lelaki ini membayar hutang-hutangnya kepada bank, malah merealisasikan cita-citanya untuk menjadi jutawan – ketika itu usianya 34 tahun, setahun lebih awal dari sasaran!

Nama lelaki yang bertubuh kecil itu ialah Tun Daim Zainuddin, bekas Menteri Kewangan Malaysia.  

Tun Daim Zainuddin : Kegigihannya untuk menjadi jutawan patut dicontohi.